Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak ketika hadir ke mahkamah bagi menyambung perbicaraan kes saman sivil RM42 juta difailkan SRC International Sdn Bhd dan anak syarikatnya, Gandingan Mentari Sdn Bhd terhadapnya, ketika di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 06 MAC 2026. (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Seorang pelikuidasi antarabangsa memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, wang AS$620 juta yang dipulangkan oleh Datuk Seri Najib Razak pada 2013 kepada pengirimnya, tidak masuk semula ke dalam akaun bekas Perdana Menteri.

Angela Barkhouse yang juga pakar pemulihan aset luar pesisir bersetuju bahawa dana itu dikembalikan kepada Tanore Finance Corp. yang dirujuknya sebagai pihak yang mengirim wang tersebut.

Menjawab soalan peguam, Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah sama ada wang itu dikembalikan selepas pilihan raya umum (PRU) pada 2013, Pengarah Urusan Kroll (Cayman) Ltd. itu tidak dapat mengesahkan tempoh tersebut.

Angela menyatakan demikian ketika memberi keterangan pada perbicaraan kes saman 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan empat yang lain selaku plaintif terhadap Najib dan enam pihak berhubung penyelewengan dana AS$5.6 billion.

Pada prosiding itu, Muhammad Shafee turut merujuk versi Najib beliau pada awalnya menerima AS$681 juta pada Mac 2013, namun memulangkan sejumlah AS$620 juta kerana PRU telah tamat.

Menurut Muhammad Shafee, Najib mengembalikan wang itu kerana tidak selesa menyimpan jumlah yang besar dalam akaunnya walhal PRU telah selesai.

Peguam: Adakah anda tahu mengapa Najib memulangkan semula wang AS$620 juta itu?
Saksi: Saya tidak tahu.

Peguam: Pernahkah anda tertanya-tanya mengapa seseorang yang menerima sejumlah AS$681 juta, bertindak mengembalikan sebahagian besar kepada penghantarnya?
Saksi: Itu persoalan yang wajar.

Bagaimanapun, Angela yang juga Ketua Bahagian Amalan Luar Pesisir Kroll berkata, isu pemulangan itu tidak selari dengan arahan ahli perniagaan Eric Tan Kim Loong yang juga sekutu Low Taek Jho atau Jho Low.

Jelas beliau, arahan pemulangan yang dikeluarkan oleh Eric seperti yang disebut dalam pernyataan saksi Richard Templeman (penyiasat kewangan antarabangsa) menyatakan ia berkaitan SRC International.

Bagaimanapun, Muhammad Shafee menyatakan perkara itu (mengenai Eric) bukan sahaja pertama kali didengar malah menyifatkannya sebagai tidak masuk akal.

Peguam: Adakah anda tahu atau mempunyai maklumat bahawa Eric telah melarikan diri?
Saksi: Ya betul.

Peguam: Jadi kredibilitinya boleh dipersoalkan?
Saksi: Saya tidak dapat memberi komen kerana dia tidak berada di sini untuk membela diri.

Peguam: Jadi mengenai Jho Low, adakah anda juga tidak dapat mengulas kredibilitinya?
Saksi: Saya tidak dapat mengulas mengenai kredibiliti sesiapa pun.

Peguam: Tadi anda sebut nama Eric Tan bukan?
Saksi: Ya.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mohamad Redzuan Idrus bersambung esok.

Dalam saman itu, 1MDB mengemukakan lapan kausa tindakan terhadap Najib iaitu penipuan, kecuaian, pelanggaran kewajipan fidusiari, pecah amanah, konspirasi, tort salah laku dalam jawatan awam, pengayaan tidak adil dan penerimaan amanah konstruktif.

Pada 26 Disember 2025, Mahkamah Tinggi mendapati Najib bersalah atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram dan dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.38 bilion.

Pada 7 Mei 2021, writ saman terbabit pada asalnya difailkan oleh 1MDB dan empat anak syarikat kepada 15 defendan termasuk Najib.

Empat anak syarikat itu ialah 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited dan Global Diversified Investment Company Limited, atau lebih dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited.

Turut dinamakan sebagai defendan ialah bekas Pengarah 1MDB, Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin, Tan Sri Ismee Ismail, Tan Sri Ong Gim Huat, Jasmine Loo Ai Swan dan Ashvin Jethanand Valiram.

Defendan lain, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Mohd Hazem Abdul Rahman, bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Azmi Tahir dan Radhi Mohamad serta bekas pegawai 1MDB, Terence Geh Choh Heng, Casey Tang Keng Chee, Vincent Beng Huat Koh, Kelvin Tan Kay Jin dan Nik Faisal Ariff Kamil.

Bagaimanapun pada 16 Ogos 2021, 1MDB dan empat anak syarikatnya menggugurkan tujuh daripada 15 defendan. Mereka ialah Che Lodin, Ismee, Gim Huat, Ashvin Jethanand, Shahrol Azral, Mohd Hazem dan Azmi manakala Jasmine Loo juga tidak tersenarai sebagai defendan – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast