KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) dibidas kerana memilih untuk keluar Dewan ketika Sidang Khas Dewan Rakyat membahaskan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji, sedangkan gabungan itu sebelum ini turut mendesak supaya RCI diadakan.
Ahli Parlimen Bangi yang juga Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Syahredzan Johan berkata, tindakan itu memberi gambaran seolah-olah isu melibatkan kepentingan hampir 10 juta pendeposit Tabung Haji dianggap perkara enteng oleh PN.
Menurut beliau, sidang khas hari ini merupakan peluang penting untuk Ahli Parlimen meneliti dan membahaskan dapatan RCI termasuk mempersoalkan mana-mana perkara yang tidak dipersetujui.
“Inilah peluang untuk bahas perkara yang cukup penting iaitu RCI Tabung Haji, melibatkan kepentingan hampir 10 juta pendeposit tetapi nampaknya PN mengambil pendirian bahawa isu TH ini perkara enteng sahaja. Tidak penting buat mereka,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Syahredzan turut mempersoalkan pendirian PN kerana gabungan itu sebelum ini antara pihak yang mendesak supaya RCI berhubung Tabung Haji diadakan.
Namun, ujarnya, apabila diberikan ruang di Dewan Rakyat untuk membahaskan laporan berkenaan, mereka sebaliknya memilih untuk meninggalkan persidangan.
“Padahal mereka dulu juga desak untuk adakan RCI tetapi bila ada peluang bahas, mereka lari dari tanggungjawab mereka,” ujarnya.
Beliau turut menolak alasan yang diberikan pembangkang berhubung tindakan keluar Dewan dan mempersoalkan keutamaan sebenar mereka dalam Sidang Khas berkenaan.
“Mereka ingin bahas Tabung Haji atau ingin bahas Perdana Menteri? Pada saya alasan mereka itu tidak boleh diterima,” tegasnya lagi.
Terdahulu, ahli Parlimen pembangkang bertindak keluar Dewan sebagai tanda protes ketika Sidang Khas Dewan Rakyat yang membahaskan Laporan RCI berkaitan Tabung Haji hari ini.
Tindakan berkenaan mencetuskan kritikan susulan keputusan mereka meninggalkan persidangan ketika laporan yang menyentuh kepentingan jutaan pendeposit Tabung Haji sedang dibahaskan. – MalaysiaGazette
















