GEORGE TOWN – Masalah pembuangan sampah plastik yang berlarutan sejak empat tahun lalu di kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) Paya Bakau Sungai Merbok, Kedah dikhuatiri menjejaskan mata pencarian ratusan nelayan.
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, ia susulan tinjauan pihaknya di sepanjang Sungai Merbok mendapati beg plastik dan botol minuman plastik dikesan dibuang di dua lokasi di Kampung Segantang Garam.
Menurutnya, masalah berkenaan sudah berlarutan sejak empat tahun lalu dan masih gagal ditangani dengan berkesan walaupun CAP telah mengemukakan perkara itu kepada pihak berkenaan.
“CAP kesal masalah yang sudah berlarutan sejak empat tahun lalu itu gagal ditangani dengan berkesan oleh pihak berkenaan.
“Di samping menjejaskan hutan paya bakau Sungai Merbok dan ekosistem sungai tersebut, kita bimbang pencemaran sisa buangan plastik ini akan merebak ke laut berhampiran dan mencemarkan kawasan persisiran pantai.
“Keadaan itu turut mengancam aktiviti dan mata pencarian beratus nelayan yang mencari rezeki di perairan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, jika masalah itu dibiarkan berterusan, kesan buruk terhadap alam sekitar di kawasan berkenaan dan sekelilingnya akan menjadi lebih serius pada masa akan datang.
“Sehubungan itu, kita menggesa Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP) dan Jabatan Perhutanan Kedah menyiasat serta mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah pencemaran sampah sarap di kawasan berkenaan.
“CAP berharap jabatan berkaitan menguatkuasakan undang-undang dengan tegas agar masalah ini dapat ditangani dengan berkesan dan tidak berulang.
“CAP juga mencadangkan kempen mengenai bahaya plastik dan sisa dilaksanakan kerajaan dari semasa ke semasa bagi memupuk kesedaran masyarakat mengenai kesan buruk bahan buangan itu terhadap alam sekitar dan kehidupan manusia,” katanya. – MalaysiaGazette
















