SHAH ALAM – Dadah yang berjaya melepasi pemeriksaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum dipintas di luar negara hanya membabitkan kira-kira enam peratus berbanding keseluruhan rampasan polis di lapangan terbang itu bagi tujuh bulan pertama tahun ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, statistik itu diperoleh berdasarkan rekod operasi antara Januari hingga Julai lalu.
Menurutnya, sepanjang tempoh berkenaan, polis merekodkan 41 kes di KLIA yang membawa kepada penahanan 51 individu.
“Sebanyak 1,268.16 kilogram (kg) dadah bernilai RM96.9 juta berjaya dirampas dalam tempoh tujuh bulan berkenaan.
“Dadah yang terlepas daripada pemeriksaan KLIA dan kemudiannya dikesan di luar negara hanya kira-kira enam peratus,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Hussein berkata, polis sudah mengambil keterangan seorang petugas KLIA bagi membantu siasatan kes juruterbang Malaysia yang ditahan di Indonesia kerana disyaki menyeludup dadah.
Bagaimanapun, beliau berkata, siasatan setakat ini belum dapat memastikan sama ada terdapat penglibatan ‘orang dalam’ yang membantu juruterbang berkenaan membawa dadah melepasi pemeriksaan di KLIA.
Menurut Hussein, siasatan masih diteruskan bagi meneliti keseluruhan pergerakan suspek termasuk bagaimana dadah berkenaan boleh dibawa keluar dari negara sebelum dikesan pihak berkuasa Indonesia.
JSJN turut bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia bagi mendapatkan maklumat lanjut termasuk berhubung sumber bekalan dadah dan kemungkinan penglibatan individu lain dalam rangkaian berkenaan.
Kes juruterbang itu sebelum ini menjadi perhatian selepas suspek ditahan sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Indonesia kerana disyaki membawa dadah dari Malaysia.
Hussein menegaskan, siasatan terhadap kemungkinan wujud bantuan dalaman masih berjalan dan polis belum membuat sebarang kesimpulan mengenai penglibatan petugas KLIA yang sudah dipanggil memberi keterangan. – MalaysiaGazette
















