Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang lagi ahli Parlimen di blok Kerajaan menggesa agar ditubuhkan satu lagi Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) baharu bagi menyiasat pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH) bagi tempoh 2021 hingga 2025.

Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) berkata, ia kerana RCI sedia ada masih mempunyai batasan kerana hanya meliputi tempoh 2014 hingga 2020 sedangkan terdapat perkembangan penting dalam pengurusan TH selepas tempoh berkenaan.

Menurut beliau, RCI baharu itu penting bagi mengenal pasti sebarang kelemahan dalam pengurusan serta operasi TH, sekaligus memastikan institusi berkenaan terus kukuh dan mampu melaksanakan matlamat penubuhannya.

“Saya menggesa agar RCI baharu dibuat bagi tempoh 2021 hingga 2025 untuk mengenal pasti kelemahan dan operasi Tabung Haji bagi tempoh tersebut,” katanya pada sesi perbahasan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat berkaitan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH di Parlimen, hari ini.

Mohd Isam turut mencadangkan supaya isu pengurusan dan tadbir urus TH dibawa ke Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk penelitian lebih mendalam, khususnya bagi tempoh 2022 hingga 2026.

Terdahulu, RSN Rayer (PH-Jelutong) menyarankan agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menubuhkan satu lagi RCI mengenai TH.

Rayer berkata, cadangan itu dibuat kerana beliau berpandangan laporan RCI yang sedia ada tidak lengkap berikutan terdapat beberapa nama-nama tertentu yang didakwa tidak dimasukkan dalam laporan berkenaan.

Beliau mendakwa, keadaan itu menimbulkan persoalan sama ada terdapat pihak tertentu yang cuba dilepaskan daripada pertanggungjawaban, justeru satu RCI baharu perlu diwujudkan untuk menjalankan siasatan secara lebih menyeluruh.

Dalam pada itu, Mohd Isam berkata, syarat minimum simpanan bagi pendaftaran haji yang meningkat daripada RM1,300 sebelum 2018 kepada RM15,000 selepas 2018 perlu dinilai semula.

Katanya, peningkatan lebih 11 kali ganda itu memberi beban kepada golongan rentan kerana RM15,000 bukan jumlah kecil dan mungkin mengambil masa bertahun-tahun untuk dikumpulkan.

“Kalau matlamat Tabung Haji adalah untuk membantu umat Islam menunaikan haji, jangan sampai syarat untuk mencapai impian itu semakin jauh daripada kemampuan rakyat,” katanya.

Mohd Isam turut membangkitkan isu kadar agihan keuntungan TH yang menurutnya masih belum melepasi lima peratus sejak 2018, sedangkan kos sara hidup dan kos menunaikan haji semakin meningkat.

Beliau berkata, pendeposit berhak mengetahui sebab pulangan yang diterima masih berada pada paras rendah, selain menegaskan mereka tidak seharusnya hanya dilihat sebagai sumber dana kepada TH.

“Pendeposit juga wajar menikmati pulangan yang munasabah,” katanya.

Mohd Isam berkata, rakyat tidak mahu isu TH terus menjadi medan perbalahan tanpa kesudahan, sebaliknya mahu melihat institusi itu berdiri lebih kukuh dan meneruskan legasinya.

“Sekiranya terdapat salah laku yang dibuat oleh mana-mana individu, tindakan tegas hendaklah segera diambil. Jika kelemahan itu berpunca daripada sistem, maka sistem itulah yang perlu diperbetulkan dengan segera,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast