TANGKAK – Seorang penumpang maut manakala pemandu parah selepas kereta dinaiki terlibat kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 171 Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan di sini hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tangkak, Deputi Superintendan Jamellulkamal Abdul Halim berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian tersebut pukul 5 pagi tadi.
“Kemalangan tersebut berlaku apabila kereta berkenaan melanggar belakang lori. Penumpang kereta berkenaan iaitu lelaki berusia 34 tahun meninggal dunia.
“Pemandu kereta, seorang lelaki berusia 35 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan mendapat rawatan di Hospital Tangkak,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pemandu lori pula yang berusia 44 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, kes berkenaan disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan Kanun Keseksaan 1987.
Pihaknya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian tersebut untuk tampil menyalurkan maklumat kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Nurhisyam Syafiq Mat Lopa 013-9825324 bagi membantu siasatan.- MalaysiaGazette
















