KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) mendakwa Sidang Khas Dewan Rakyat bagi membincangkan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini diturun taraf kepada sesi penerangan menteri sekali gus tidak membolehkan laporan berkenaan dibahaskan dan diputuskan melalui undian.
Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, tindakan itu dipersoalkan pihaknya kerana sidang khas berkenaan sepatutnya memberi ruang kepada ahli Parlimen membahaskan laporan RCI sebelum satu ketetapan dibuat.
Menurutnya, Peraturan Mesyuarat 11 (3) memperuntukkan Perdana Menteri boleh memanggil persidangan khas sekiranya terdapat perkara mustahak dan memberi faedah kepada orang ramai ketika Dewan Rakyat dalam tempoh tangguhan.
“Apa yang kami pertikaikan ialah laporan RCI itu dibahaskan tanpa ada satu ketetapan akan dibuat mengenainya. Perdana Menteri panggil untuk beliau bentang di sini yang pada anggapan semua, laporan ini perlu dibahaskan Ahli Parlimen seterusnya dibuat satu ketetapan dan keputusan,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Takiyuddin berkata, pihak pembangkang dimaklumkan status Laporan RCI TH hanya bertaraf penerangan menteri dan bukannya laporan untuk dibahaskan serta diputuskan melalui undian.
“Bukan saja tidak ada pengundian, ia diturun taraf kepada penerangan menteri saja, yang pada bila-bila masa boleh dibuat. Ketika persidangan biasa pun ada satu sesi seorang menteri beri penerangan, itu boleh tanya dan sebagainya,” katanya.
Terdahulu, wakil rakyat pembangkang memutuskan untuk tidak menyertai Sidang Khas berkenaan dan bertindak keluar dari Dewan Rakyat selepas usul mereka untuk menangguhkan persidangan ditolak Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
Takiyuddin sebelum itu mencadangkan supaya sidang khas ditangguhkan susulan ketiadaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjalani rawatan kesihatan selain Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang sedang mendapatkan rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).
Takiyuddin turut menegaskan, Perdana Menteri wajar hadir pada sidang berkenaan.
“Sama ada beliau nak jawab atau tidak, itu terpulang kepada beliau tetapi beliau mesti ada di dewan ketika persidangan ini. Sebaiknya kita buat sidang media seperti ini sahaja. Di sini tiada Perdana Menteri, di dalam (Dewan) pun tidak ada.
“Atas dasar itu, kami bersetuju untuk keluar dari dewan dan tidak mengikuti sidang hari ini,” katanya.
Hadir sama pada sidang media itu Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin serta Ahli Parlimen PN daripada Pas dan Parti Wawasan Negara (WAWASAN). – MalaysiaGazette
















