KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Hulu Langat, Sany Hamzan ditegur Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr. Ramli Mohd Nor susulan kenyataannya yang menyentuh isu kaum dan agama ketika mencelah perbahasan berhubung laporan Suruhanjaya Diraja (RCI) Tabung Haji yang dikaitkan dengan penyelewengan wang rakyat.
Ramli mengarahkan Sany menarik balik kenyataan berkenaan selepas mengingatkan ungkapan yang ditujukan kepada sesuatu kaum atau agama sehingga boleh menimbulkan ketidakselesaan di dalam dan luar Dewan Rakyat adalah tidak wajar.
Ramli meminta Sany supaya berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan yang boleh menyentuh sensitiviti seperti itu dalam persidangan Dewan Rakyat.
Sany sebelum itu mendakwa, wujud sikap seolah-olah perbuatan mengambil, mencuri atau menyeleweng wang rakyat boleh diterima sekiranya dilakukan oleh orang Melayu dan beragama Islam.
“Dia nak rompak ke, dia nak samun ke, dia nak sakau. Yang penting yang ambil duit itu Melayu. Melayu tak apa. Ambillah lagi, curilah lagi, rompaklah lagi. Yang penting Melayu dan juga Islam,” katanya.
Menurut Sany, keadaan itu seolah-olah menggambarkan orang Melayu boleh melakukan perbuatan tersebut terhadap harta rakyat, manakala kaum lain tidak boleh berbuat demikian.
“Sebab dalam negara kita ini Melayu dia boleh rompak, dia boleh curi, dia boleh sakau, dia boleh mentekedarah duit rakyat dalam negara kita ini.
“Janji Melayu, janji Islam tak ada masalah. Yang tak boleh Cina dengan India, tak boleh. Melayu curi, rompaklah harta rakyat dalam negara,” katanya.
Kenyataan Sany itu telah menyebabkan Datuk Radzi Jidin (PN-Putrajaya) bangkit dan meminta supaya Sany menarik balik apa yang telah dilafazkan.
Katanya, apa yang dikatakan oleh Sany itu terlalu umum dan boleh memeberikan kesan bukan sahaja kepada ahli Dewan Rakyat tetapi juga kepada masyarakat umum.
“Saya minta Hulu Langat tarik baliklah. Itu satu tuduhan terlalu umum. Ada mana-mana tak kisahlah kaum ke apa yang terlibat dalam perkara tak baik. Tapi jangan generalize pada orang Melayu. Minta tarik balik Datuk Seri Speaker,” katanya.
Sany bagaimanapun cuba mempertahankan kenyataannya hingga berlaku tikam lidah antara beliau dengan Ramli.
“Jadi, Yang Berhormat Hulu Langat, saya perintahkan untuk tarik apa yang Yang Berhormat nyatakan berkaitan ras, Islam dan agama Islam tersebut.
“Peraturan 42 menyatakan apabila pengerusi bercakap, Yang Berhormat dengar. Saya tidak minta Yang Berhormat memberi penjelasan. Saya hanya perintahkan menarik balik berkaitan isu ras dan agama,” kata Ramli.
Sany kemudian akur dengan arahan berkenaan dan menarik balik kenyataannya namun cuba menjelaskan, beliau hanya merujuk kepada segelintir Melayu dan Islam bukan keseluruhan kaum atau penganut agama berkenaan.
“Saya tarik balik, cuma saya betulkan, bukan keseluruhan tetapi segelintir Melayu dan Islam,” katanya.
Bagaimanapun, Ramli menegaskan, keputusan untuk menarik balik kenyataan itu adalah muktamad dan tidak memerlukan penjelasan lanjut daripada Sany.
Ramli turut mengingatkan semua ahli Parlimen supaya menjaga tatakelakuan dan bahasa digunakan ketika berbahas bagi memastikan persidangan Dewan Rakyat berlangsung dalam suasana tertib.
Teguran tersebut dibuat ketika Dewan Rakyat sedang membahaskan isu berkaitan pengurusan serta penggunaan wang rakyat. – MalaysiaGazette















