KUALA LUMPUR – SD Guthrie Berhad (Guthrie) memeterai Perjanjian Jual Beli bersyarat dengan Sime Darby Property (Kulai) Sdn Bhd bagi menjual kira-kira 556.96 ekar tanah pegangan bebas di Ladang Kulai, Johor, dengan nilai transaksi tunai kira-kira RM418.5 juta.
Menurutnya, transaksi ini melibatkan dua lot tanah yang terletak secara strategik dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan telah dizonkan untuk pembangunan perumahan.
“Kawasan tersebut yang pada ketika ini sudahpun tertanam dengan pohon sawit matang, mempunyai potensi pembangunan yang tinggi berikutan lokasinya yang berhampiran dengan infrastruktur utama serta pertumbuhan aktiviti ekonomi yang semakin pesat di Johor,” kata Guthrie dalam satu kenyataan hari ini
Penjualan ini membolehkan Guthrie merealisasikan nilai aset strategiknya sambil menyokong pembangunan masa depan di salah satu koridor pertumbuhan paling berpotensi di negara ini. – MalaysiaGazette
















