Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin pada sidang Dewan Negeri Selangor di Shah Alam, hari ini.

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor sedang memperkukuh sistem pengurusan sisa elektronik (e-waste) bagi menghadapi potensi lambakan bateri kenderaan elektrik (EV) dan panel solar yang mencapai tamat hayat susulan perkembangan pesat industri teknologi hijau di negeri itu.

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin berkata, peningkatan penggunaan EV serta pemasangan panel solar dijangka menghasilkan jumlah sisa semakin besar pada masa hadapan.

Menurut beliau, ia memerlukan pengurusan khusus bagi mengelakkan risiko pencemaran serta kemudaratan kepada kesihatan awam.

“Selangor sebagai hab pengilangan, automotif dan teknologi utama negara menyedari keperluan untuk menyediakan sistem pengumpulan, pemerolehan kembali, kitar semula dan pelupusan sisa berkenaan lebih awal.

“Panel solar tamat hayat dan bateri EV diklasifikasikan sebagai buangan terjadual di bawah Jadual Pertama, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005, masing-masing di bawah kod SW110 dan SW103.

“Oleh itu, sisa berkenaan tidak boleh dilupuskan bersama sisa pepejal biasa dan pengurusannya tertakluk kepada peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Jefri Mejan (PN-Ijok) yang bertanyakan tentang persediaan kerajaan negeri menghadapi lambakan bateri EV dan panel solar tamat hayat, khususnya dari aspek pengumpulan, kitar semula, pelupusan serta pengurusan sisa berbahaya.

Jamaliah juga berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut menetapkan supaya buangan terjadual termasuk bateri terpakai melalui proses pemerolehan kembali selaras dengan konsep cradle to cradle bagi mengurangkan impak pencemaran terhadap alam sekitar.

“Pemilik atau pengeluar sisa perlu menghantar bateri EV dan panel solar tamat hayat ke premis pemerolehan kembali yang dilesenkan JAS.

“Bateri EV akan melalui proses pengumpulan, pengasingan, nyahcas dan pemerolehan kembali bagi mengekstrak bahan bernilai seperti litium, kobalt dan nikel sebelum diproses semula menggunakan teknologi yang diluluskan,” katanya.

Menurutnya, Selangor kini mempunyai dua kemudahan pemerolehan kembali luar tapak bagi kod SW103 untuk mengolah dan mengitar semula bateri EV.

“Bagi panel solar pula terdapat 11 kemudahan pemerolehan kembali penuh dan 21 kemudahan pemerolehan kembali separa bagi kod SW110 yang dilesenkan JAS,” katanya.

Jamaliah berkata, pembangunan premis baharu untuk menjalankan aktiviti pemerolehan kembali bateri EV dan panel solar juga tertakluk kepada penilaian kesan terhadap alam sekitar (EIA).

“Penggerak projek perlu mengemukakan laporan EIA untuk diteliti sebelum kelulusan diberikan dan hanya projek yang memenuhi keperluan alam sekitar akan dipertimbangkan untuk dilesenkan di bawah Seksyen 18(1), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Pendekatan ini memastikan hanya premis yang memenuhi keperluan alam sekitar diberi kelulusan supaya operasi pemerolehan kembali tidak menimbulkan risiko pencemaran kepada alam sekitar dan kesihatan awam,” katanya.

Dalam pada itu kerajaan negeri turut merancang memperluaskan rangkaian pusat pengumpulan e-waste yang mudah diakses di setiap pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menurut Jamaliah, pusat pengumpulan itu akan diintegrasikan dengan program komuniti, pusat kitar semula sedia ada dan inisiatif seperti Program SELKitar.

“Ini sekali gus dapat mengurangkan risiko e-waste dibuang bersama sisa pepejal biasa,” katanya.

Selain itu, katanya, kerajaan negeri sedang membangunkan Pelan Hala Tuju Ekonomi Hijau Negeri Selangor (SAGE) Jilid 2: Ekonomi Kitaran.

“Ia merangkumi pengurusan sisa tenaga boleh baharu termasuk aspek pengumpulan semula, kitar semula dan pelupusan selamat panel solar, bateri, inverter serta komponen sistem berkaitan yang telah tamat hayat,” katanya.

Jelasnya, pendekatan Extended Producer Responsibility (EPR) turut akan diberi penekanan sebagai sebahagian daripada hala tuju ekonomi kitaran negeri.

“Konsep EPR akan menjadi pendekatan dasar yang signifikan bagi memastikan pengeluar, pengimport, pembekal atau pemilik jenama bertanggungjawab secara langsung terhadap keseluruhan kitar hayat produk,” katanya.

Katanya lagi, Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menerusi Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) sedang merangka garis panduan khusus bagi pengurusan sisa panel solar dan bateri EV.

“Garis panduan itu bertujuan memastikan sisa berkenaan yang dikategorikan sebagai buangan terjadual kod SW110 dan SW103 dapat diurus secara mesra alam,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast