JASIN – Lahir dalam keluarga serba sederhana sebagai anak pesawah, Muhammad Aidil Firdaus Abdul Latif, tidak pernah menjadikan kesusahan hidup sebagai alasan untuk mengalah dalam mengejar masa depan.
Sebaliknya, minat menggunting rambut yang bermula sejak Tingkatan Dua menjadi titik tolak kepada perjalanan hidupnya sehingga diberi kepercayaan mengurus sebuah cawangan kedai dandanan rambut terkenal pada usia yang baharu 20-an.
Anak kelahiran Kampung Telaga Nibong, Jerteh, Besut, Terengganu itu berkata, kesusahan hidup sejak kecil serta melihat kegigihan bapanya sebagai pesawah dan pekebun sekolah menjadi pendorong untuknya berusaha mengubah nasib keluarga.
“Sebenarnya, minat saya terhadap dunia menggunting rambut bermula ketika Tingkatan Dua yang dipelajari sendiri dan menawarkan perkhidmatan kepada penduduk kampung secara percuma pada awalnya sebelum mengenakan bayaran RM2 dan RM3.
“Saya datang daripada keluarga susah dan pernah menerima bantuan zakat sebab itu saya mahu buat yang terbaik untuk keluarga,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pembukaan Cawangan Keempat Hillmen Hairstudio di Jasin Bestari.

Muhammad Aidil (kiri) diberi kepercayaan menguruskan kedai dandanan dan gunting rambut Hillmen Hairstudio di Jasin Bestari, Melaka
Perasmian disempurnakan Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA) Negeri Melaka, Shahzulmirzan Safar.
Bercerita lanjut, Muhammad Aidil Firdaus yang merupakan anak kedua daripada empat beradik berkata, sebelum ini dia pernah membina sendiri sebuah kedai gunting rambut menggunakan bata dan zink hasil kemahiran pertukangan yang dipelajari daripada bapanya.
“Kedai kecil berukuran kira-kira 11 kaki itu hanya dilengkapi kipas berdiri tanpa papan tanda, namun menjadi tempat saya mengasah kemahiran serta mencari pendapatan selepas tamat pengajian Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
“Sebelum berhijrah ke Melaka, saya pernah cuba pemilihan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) atas permintaan keluarga yang mahu melihat saya bekerja dalam sektor kerajaan.
“Namun, mungkin rezeki saya bukan di situ kerana saya rasa jiwa saya adalah berniaga dan gunting rambut,” tambahnya.
Siapa sangka, episod kejayaan pemuda ini bermula pada 2021, walaupun ketika itu Muhammad Aidil Firdaus berhijrah ke Melaka dengan berbekalkan wang tidak seberapa untuk memulakan kehidupan baharu, malah pernah melalui pengalaman makan nasi tanpa lauk pada peringkat awal.
Bagaimanapun, kesusahan itu tidak mematahkan semangatnya apabila dia mendapat peluang mengikuti latihan menggunting rambut secara formal di Hillmen Hair Studio cawangan Sungai Udang sebelum bekerja di situ selama beberapa tahun.
“Sepanjang tempoh itu, saya bukan sahaja meningkatkan kemahiran menggunting rambut, malah mempelajari pengurusan masa, komunikasi dengan pelanggan, sikap profesional dan cara meningkatkan jualan,” katanya.

Kesungguhan yang ditunjukkannya akhirnya membuka peluang apabila pemilik Hillmen Hairstudio, Muhammad Hilman Mohd Rosli, 29, memberi kepercayaan kepadanya mengurus cawangan baharu di Jasin yang mula beroperasi awal bulan ini.
Muhammad Aidil Firdaus berkata, peluang itu amat dihargainya kerana dia bermula dari bawah tanpa pengalaman formal dalam bidang berkenaan.
“Saya bermula dari bawah, tetapi diberi peluang untuk belajar, bekerja dan membuktikan kemampuan.
“Kepercayaan itu saya pegang dengan jujur dan amanah kerana saya tahu bukan semua orang mendapat peluang seperti ini,” katanya.
Muhammad Aidil Firdaus berkata, pengalaman hidupnya itu membuktikan golongan asnaf juga mampu berjaya sekiranya ikhlas bekerja, berusaha bersungguh-sungguh dan tidak mensia-siakan peluang yang diberikan.
Daripada sebuah bangsal kecil di kampung dengan gunting rambut RM2, Muhammad Aidil Firdaus kini mengurus sebuah cawangan pada usia muda, membuktikan kejayaan boleh bermula dengan langkah berani dan tidak mudah menyerah kalah. – MalaysiaGazette
















