Tayangan filem tempatan Irumbuth Thottam (Ladang Besi) di Kuala Terengganu baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Karya seni termasuk filem berbahasa Tamil tidak seharusnya dilihat sebagai hiburan khusus untuk sesuatu kaum kerana ia mampu menjadi medium memperkukuh hubungan masyarakat majmuk di negara ini.

Ketua Penerangan Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP), Dr Balachandran Gopal Krishnan berkata, penerimaan masyarakat pelbagai kaum terhadap filem tempatan Irumbuth Thottam (Ladang Besi) di Kuala Terengganu membuktikan bahasa bukan penghalang untuk sesebuah karya dinikmati bersama.

Menurutnya, perkara itu dapat dilihat menerusi Tayangan Perdana Terengganu filem berkenaan yang menghimpunkan masyarakat Melayu, Cina, India dan Siam dalam satu acara.

“Filem berbahasa Tamil tidak semestinya hanya untuk masyarakat India. Apabila sebuah karya membawa cerita Malaysia dan disediakan dalam bahasa yang boleh difahami bersama, ia menjadi karya untuk semua rakyat Malaysia.

“Apa yang paling bermakna ialah melihat masyarakat daripada pelbagai kaum dan agama duduk bersama dalam satu dewan, berkongsi keterujaan, ketawa dan debaran daripada jalan cerita yang sama.

“Inilah wajah sebenar masyarakat Terengganu, berbeza latar belakang tetapi hidup dalam keharmonian seperti sebuah keluarga besar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Balachandran berkata, usaha mempertemukan masyarakat menerusi seni dan budaya perlu diperluaskan kerana interaksi antara kaum tidak semestinya hanya berlangsung menerusi program rasmi atau acara berskala besar.

Sebaliknya, beliau berpandangan aktiviti santai seperti tayangan filem juga boleh membuka ruang kepada masyarakat daripada latar belakang berbeza untuk bertemu, berinteraksi dan berkongsi pengalaman.

“Seni dan budaya mampu menjadi jambatan yang menyatukan masyarakat.

“Kita mahu lebih banyak ruang seperti ini diwujudkan di Terengganu, ruang yang membolehkan masyarakat pelbagai kaum dan komuniti lain bertemu, berinteraksi dan berkongsi pengalaman bersama,” ujarnya.

Tayangan berkenaan dianjurkan dengan kerjasama Pertubuhan Komuniti Sahabat Cakna Terengganu, FST Cinemas yang dahulunya dikenali sebagai LFS Cinemas serta Unit Hal Ehwal Bukan Islam, Pejabat Menteri Besar Terengganu.

Menurut Balachandran, pendekatan berkenaan juga selari dengan aspirasi Terengganu Negeri Bahagia yang tidak hanya melihat kemajuan berdasarkan pembangunan fizikal, sebaliknya mengambil kira keharmonian dan hubungan antara masyarakat.

Beliau berkata, kesejahteraan sesebuah negeri turut bergantung kepada kemampuan rakyatnya untuk saling menghormati dan memahami perbezaan agama, bahasa serta budaya.

Irumbuth Thottam merupakan filem Tamil tempatan yang mengetengahkan kehidupan sebuah komuniti di Malaysia menerusi elemen jenayah, misteri dan kemanusiaan dengan jalan cerita diinspirasikan daripada kejadian sebenar.

Walaupun menggunakan bahasa Tamil, filem berkenaan turut menyediakan sari kata Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris bagi membolehkan karya itu ditonton masyarakat lebih luas.

Tayangan di Kuala Terengganu itu turut dihadiri penerbit filem berkenaan, Jegen John Peter serta pelakon utamanya, Irfan Zaini yang kemudian menyertai sesi ramah mesra bersama penonton.

Dr Bala bersama penerbit filem berkenaan, Jegen John Peter serta pelakon utamanya, Irfan Zaini.

Balachandran berkata, sambutan terhadap tayangan berkenaan menunjukkan karya tempatan mempunyai potensi untuk merentasi sempadan bahasa dan kaum sekiranya diberikan ruang serta platform sewajarnya.

“Inilah Terengganu yang kita mahu terus bina dan pertahankan, selaras dengan hala tuju Terengganu Maju, Berkat, Sejahtera.

“Masyarakatnya mungkin berbeza bahasa, budaya dan agama, tetapi tetap mampu duduk bersama sebagai satu keluarga,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast