Ahmad Maslan (tengah) pada majlis perasmian ibu pejabat baharu Kumpulan ISC Global - Foto ihsan ISC Global Malaysia

KUALA LUMPUR – Malaysia menjadi hab sebagai pintu masuk strategik bagi mengukuhkan kedudukan di rantau Asia Tenggara apabila Kumpulan ISC Global, syarikat yang beroperasi dalam bidang kejuruteraan, pembangunan hartanah dan pengurusan projek, membuka ibu pejabat baharunya di negara ini.

Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif ISC Global, Dr. Ahmed Helmy berkata, pihaknya melihat Malaysia mempunyai potensi untuk berkembang sebagai hub serantau bagi operasi ISC Global pada masa depan.

“Selepas melakukan kajian terhadap beberapa negara di Asia Tenggara, kami melihat Malaysia sebagai pilihan yang tepat, dari segi lokasi, ekosistem perniagaan serta tenaga kerja tempatan.

“Kami melihat Malaysia mempunyai potensi untuk menjadi hab utama kami, khsusunya pada masa ini semakin banyak pelaburan dan projek berskala besar mula masuk ke negara ini.

“Walau bagaimanapun, kami mahu memberi fokus kepada pasaran Malaysia sebelum mengembangkan langkah seterusnya ke pasaran lain,” katanya dalam kenyataan.

Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif ISC Global, Dr. Ahmed Helmy.

Jelasnya, berbeza dengan pendekatan tradisional yang memerlukan pemilik projek berurusan dengan pelbagai pihak secara berasingan, ISC Global menawarkan pendekatan pengurusan projek bersepadu yang menggabungkan pelbagai fungsi dalam satu sistem.

Ahmed berkata, kekuatan utama mereka adalah keupayaan menyatukan aspek teknologi, kejuruteraan dan pengurusan pembinaan supaya bergerak dalam satu hala tuju.

“Kekuatan kami ialah menyediakan penyelesaian pengurusan projek secara menyeluruh, bagi pemaju yang ingin memulakan sesuatu projek, mereka biasanya perlu berurusan dengan banyak pihak.

“Kami boleh menyatukan semua aspek itu dan membolehkan mereka berurusan dengan satu entiti sahaja. Pada masa sama, kami percaya tenaga kerja tempatan sangat penting kerana mereka lebih memahami budaya kerja, pasaran dan cara perniagaan di Malaysia.

“Kami juga sudah memulakan perbincangan dengan pihak kerajaan dan sektor swasta, termasuk persediaan ke arah kerjasama melalui memorandum persefahaman,” katanya yang optimis dengan potensi besar Malaysia.

Pengalaman ISC Global dalam mengendalikan projek berskala besar turut menjadi antara faktor keyakinan syarikat untuk memasuki pasaran Malaysia.

Antara pengalaman yang diketengahkan iaitu penglibatan dalam projek mega di Arab Saudi membabitkan kerjasama antara kerajaan Arab Saudi dan United Kingdom (UK) , termasuk komponen pembangunan infrastruktur.

Mengulas lanjut pasaran Malaysia, Ahmed menjelaskan, pihaknya melihat beberapa sektor mempunyai potensi besar, antaranya pembangunan infrastruktur kesihatan dan pusat data.

Katanya, antara cabaran yang dilihat dalam industri pembinaan Malaysia ialah keperluan untuk mengintegrasikan teknologi dengan aspek kejuruteraan dan pembinaan secara lebih menyeluruh.

“Kami yakin kepakaran ISC Global mampu memberikan ‘warna’ kepada pembangunan instrastruktur di Malaysia,” katanya.

Mengenai merangka pengembangan di Malaysia, beliau berkata, ISC Global tidak mahu terlalu bergantung kepada pelan lima tahun yang bersifat statik memandangkan industri pembinaan kini berubah dengan pantas, khususnya dari segi teknologi.

“Perancangan kami bersifat fleksibel dalam memastikan syarikat dapat bertindak pantas terhadap perubahan keperluan pasaran.

“Kami tidak menetapkan pelan lima tahun kerana dunia sedang berubah dengan begitu pantas. Teknologi juga berkembang, termasuk integrasi kecerdasan buatan (AI) dalam industri pembinaan.

“Sebab itu, kami lebih selesa membuat perancangan secara tahunan, dengan sasaran yang jelas untuk tempoh satu hingga dua tahun terlebih dahulu, manakala perancangan seterusnya akan disesuaikan berdasarkan perubahan pasaran dan teknologi,” ulasnya.

Dalam pada itu, ISC Global turut memeterai Tripartite Teaming Agreement bersama Dataprep Holdings Berhad, ISC dan INZOX LLC bagi meneroka kerjasama dalam bidang Sovereign AI dan Edge AI generasi baharu.

Kerjasama ini antara lain membuka peluang untuk membangunkan infrastruktur AI yang lebih selamat dan boleh beroperasi secara kendiri. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here