PORT DICKSON – Kekalahan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan lalu tidak mematahkan semangat Ketua MIC Bahagian Port Dickson, A Achutan untuk terus turun padang membantu masyarakat yang memerlukan.
Achutan yang lebih mesra dikenali sebagai Acu dalam kalangan penduduk setempat berkata, kekalahan pada PRN lalu tidak menghalangnya daripada terus turun padang membantu masyarakat yang memerlukan.
Beliau yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Tanjung pada PRN berkenaan berkata, khidmat kepada rakyat tidak seharusnya terhenti hanya kerana keputusan pilihan raya tidak memihak kepadanya.
“Pilihan raya sudah selesai dan kemenangan tidak berpihak kepada saya, tetapi tanggungjawab membantu masyarakat tetap diteruskan.
“Bagi saya, kita tidak perlu menunggu menjadi wakil rakyat untuk membantu. Selagi ada kemampuan dan ruang, saya akan cuba sedaya upaya membantu mereka yang memerlukan,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Beberapa hari lalu, Acu tampil membantu seorang kanak-kanak yang menghidap leukemia selain berikrar membantu keluarga berkenaan mendapatkan bantuan diperlukan.
Hari ini, beliau sekali lagi turun padang menziarahi seorang lelaki yang menderita penyakit untut gajah di Kampung Chokra dan memerlukan sebuah mesin khas berharga lebih RM14,000.

Menurutnya, kos peralatan berkenaan agak tinggi untuk ditanggung keluarga pesakit dan usaha akan dilakukan bagi mendapatkan bantuan daripada agensi berkaitan.
“Saya sudah melihat sendiri keadaan pesakit ini. Kita akan cuba yang terbaik untuk membantu beliau mendapatkan mesin yang diperlukan.
“Saya juga akan membantu dari sudut permohonan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pada masa sama melihat bentuk bantuan yang boleh disalurkan melalui peruntukan saya sendiri,” ujarnya.
Acu berkata, usaha membantu golongan memerlukan akan diteruskan tanpa mengira latar belakang kerana masalah dan kesusahan rakyat tidak berakhir selepas pilihan raya. -MalaysiaGazette
















