One Hope Charity & Welfare membantu mengumpul dana RM174,000 bagi membiayai tiga dos ubat untuk Muhammad Aryan.

BUKIT MERTAJAM – Benjolan kecil di sekitar mata kanan yang muncul secara tiba-tiba pada penghujung tahun lalu menjadi titik perubahan hidup Muhammad Aryan Muhammad Adli, apabila dia disahkan menghidap kanser neuroblastoma tahap empat.

Lebih memilukan, kanser yang pada awalnya dikesan di sekitar soket mata kanan dan kawasan berhampiran tulang belakang itu kemudian merebak ke abdomen, tulang belakang dan pinggul, menyebabkan kanak-kanak berusia enam tahun itu terpaksa melalui pelbagai rawatan termasuk 13 sesi kemoterapi dan pembedahan.

Bapanya, Muhammad Adli Abdullah, 31, berkata, sebelum ini anaknya seorang kanak-kanak yang aktif, ceria dan gemar tersenyum, namun kehidupannya berubah selepas benjolan berkenaan dikesan.

“Pada awal tahun ini, Muhammad Aryan menjalani lapan sesi kemoterapi sebelum pemeriksaan mendapati terdapat ketumbuhan berukuran 10 sentimeter di bahagian abdomen.

“Dia kemudiannya menjalani pembedahan pada April lalu bagi membuang ketumbuhan sebelum meneruskan rawatan kemoterapi.

“Bagaimanapun, ujian susulan mendapati sel kanser masih aktif apabila dia mula mengadu mengalami kesakitan pada bahagian pinggul,” katanya.

Tambab Muhammad Adli, pemeriksaan lanjut mendapati sel kanser di bahagian pinggul menekan saraf, menyebabkan anaknya mengalami kesakitan teruk dan perlu menjalani lima lagi sesi kemoterapi.

Katanya, doktor kemudian mencadangkan rawatan imunoterapi bagi membantu mengurangkan risiko kanser berulang serta meningkatkan keupayaan tubuh melawan sel kanser.

“Setiap dos ubat berharga RM58,000 dan Muhammad Aryan memerlukan lapan dos bagi melengkapkan rawatan, menjadikan keseluruhan kos mencecah RM464,000.

“Saya tidak mampu menanggung keseluruhan kos berkenaan dan terpaksa mendapatkan sumbangan daripada pelbagai pihak termasuk badan amal,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, pihaknya membantu mengumpul dana RM174,000 bagi membiayai tiga dos ubat untuk Muhammad Aryan.

“Bapanya bekerja sebagai peniaga stokis produk kesihatan, manakala ibunya, Ani Farhanah Kamal Ariffin, 31, yang sebelum ini menjalankan perniagaan dalam talian terpaksa meninggalkan perusahaan itu demi menjaga Muhammad Aryan sepenuh masa.

“Pasangan itu turut mempunyai dua lagi anak perempuan berusia lapan dan dua tahun.

“Justeru orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Public Bank Berhad atas nama One Hope Charity & Welfare, nombor akaun 3201428817,” katanya.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi 04-539 9212, 016-419 2192, 019-232 2192atau 018-911 4192. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast