KUALA LUMPUR – Tiga legenda Liverpool, Michael Owen, John Arne Riise dan Steven Gerrard mengetuai senarai legenda yang sah beraksi untuk perlawanan AllStar Legends yang akan berlangsung pada 3 Oktober ini.
Selain Owen, Riise dan Gerrard, legenda Chelsea, Eidur Gudjohnsen dan legenda Wales, Ryan Giggs turut mengesahkan akan beraksi untuk pasukan sama.
Legenda Itali dan Juventus, Alessandro Del Piero pula mengetuai cabaran pasukan AllStar World Legends bersama bekas ‘orang besi’ Manchester United, Jaap Stam dan penyerang legenda Sepanyol, Fernando Morientes.
Bekas peledak Barcelona, Javier Saviola dan penjaga gol legenda Brazil, Dida melengkapkan lima legenda yang sah akan mewakili AllStar World Legends.
Penyokong yang mahu menonton perlawanan itu di TM Stadium Nasional boleh mendapatkan tiket menerusi platform Ticket2U di mana penyokong yang inginkan pengalaman yang lebih menyeluruh boleh melakukannya dengan mendapatkan tiket kategori VIP dan Grand Stand.
Tiket kategori VIP menawarkan akses premium pada harga RM1,998 di mana antara kelebihan penyokong yang memiliki tiket tersebut ialah berpeluang menyertai sesi Meet and Greet eksklusif dan sesi autograf bersama para legenda bola sepak.
Tiket Grand Stand pula menawarkan tempat duduk dengan pemandangan terbaik dan beg cenderamata rasmi pada harga RM399.
Penyokong juga boleh mendapatkan tiket Kategori 1, 2 dan 3 dengan setiap kategori menawarkan harga RM209, RM168 dan RM98. – MalaysiaGazette
















