GEORGE TOWN – Seorang lelaki yang mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan dan mencederakan seorang lelaki warganegara India.
Tertuduh, Mohd Salim Kapoor Rahim, 40, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Irwan Suainbon.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan rompakan terhadap harta milik seorang lelaki warganegara India dan dengan sengaja mencederakan mangsa di hadapan sebuah rumah di Blok A-2-5, Taman Nusantara, Jalan Makloom di sini, jam 4.20 petang, pada 8 Ogos lalu.
Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan hendaklah juga dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.
Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Anuarul Hakim Abdul Muen menawarkan jaminan RM10,000 dengan syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis setiap bulan, tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu supaya jumlah jaminan itu dikurangkan dengan alasan dia penganggur dan jaminan akan dibuat oleh isterinya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 serta syarat tambahan yang dimohon pihak pendakwa.
Kes akan disebut semula pada 15 September depan untuk serahan dokumen serta lantikan peguam.
Difahamkan, tertuduh pergi ke inap desa yang didiami mangsa sebelum mengaku sebagai anggota polis serta meminta mangsa mengemukakan pasport.
Tertuduh kemudian didakwa memukul mangsa menggunakan kunci mangga sebelum merampas telefon bimbit miliknya dan melarikan diri.
Mangsa dilaporkan mengalami luka pada hidung dan belakang badan susulan kejadian itu. – MalaysiaGazette
















