Eric See-To

KUALA LUMPUR –  Pempengaruh media sosial dan pengkritik kerajaan, Datuk Eric See-To (Lim Sian See) menyatakan hasrat untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) sekiranya Pakatan Harapan (PH) kekal berkuasa.

Malah, beliau berharap Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dapat memberi laluan kepadanya untuk bertanding di sebuah kerusi Parlimen yang berpotensi dimenangi bagi membolehkannya berada di Dewan Rakyat sebagai wakil pembangkang.

Eric See berkata, hasrat itu terlintas selepas melihat perkembangan yang berlaku di Dewan Rakyat semalam.

“Kalau PH berjaya kekal pada PRU16, saya harap BN-PN akan lepaskan satu kerusi Parlimen untuk saya bertanding dan menang supaya saya boleh masuk Dewan Rakyat sebagai Ahli Parlimen pembangkang untuk lawan penipuan dan putar belit PH.

“Namun, jika BN-PN berjaya tumbangkan kerajaan PH itu separuh jalan dan membentuk kerajaan, saya akan letak jawatan serta-merta supaya PRK diadakan untuk ganti saya,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau turut menjelaskan tidak mempunyai cita-cita untuk menjadi menteri, timbalan menteri atau memegang sebarang jawatan dalam kerajaan sekiranya diberi peluang bertanding dan memenangi kerusi Parlimen.

Sebaliknya, Eric See berkata, minatnya adalah untuk memainkan peranan sebagai pembangkang dan menentang apa yang disifatkannya sebagai pembohongan serta propaganda PH.

“Saya tak berminat jadi Menteri, Timbalan Menteri atau pegang apa-apa jawatan. Saya sudah puas hati dengan lifestyle saya sekarang.

“Minat saya untuk lawan pembohongan dan propaganda PH sahaja,” tegasnya.

Eric See sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik BN dan dikenali aktif mengulas pelbagai isu politik serta ekonomi menerusi media sosial. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast