Pemimpin bersama Parti Bersama Malaysia, Datuk Seri Rafizi Ramli bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Parti Bersama Malaysia, Puchong, Selangor. Foto SADIQ SANI, 12 OGOS 2026.

PUCHONG – Permohonan menjadi ahli Parti Bersama Malaysia (Bersama) meningkat secara mendadak susulan kekalahan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Mendedahkan perkara itu, pemimpin parti tersebut, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, jumlah keahlian Bersama terkini adalah seramai 29,200 orang.

Menurutnya, 60 peratus daripadanya merupakan individu yang tidak pernah menyertai mana-mana parti politik sebelum ini.

“Selepas kekalahan PH dalam pilihan raya Negeri Sembilan pada 1 Ogos, kita memang melihat peningkatan mendadak dalam permohonan untuk menjadi ahli Bersama.

“Setakat minggu lalu, 25 peratus daripada ahli Bersama merupakan bekas ahli PKR,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Bersama, Taman Putra Perdana di sini, hari ini.

Turut hadir Nik Nazmi Nik Ahmad dan bekas Ahli Parlimen Subang yang kini menjadi ahli Bersama.

Sementara itu, Rafizi berkata, beliau tidak dapat mengulas sama ada lebih ramai Ahli Parlimen akan mengikuti jejak Wong Chen pada masa depan.

Selain itu tambahnya, kira-kira 15 peratus lagi bekas anggota parti politik lain, termasuk UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Dalam sidang media sama, bekas Menteri Ekonomi itu berkata, Bersama dijangka mengadakan pemilihan parti dalam tempoh enam hingga tujuh bulan akan datang selepas proses pindaan perlembagaan parti selesai.

Sebagai rekod, PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos lalu menyaksikan Barisan Nasioal (BN) memperolehi 18 kerusi dan Pakatan Harapan (PH) 11 kerusi, manakala Perikatan Nasional(PN) 7 tujuh kerusi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast