Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Polis sedang mengesan seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian khianat menyimbah cat di sebuah premis perniagaan di Kampung Baru Sungai Buloh, di sini, pada 5 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 6 Ogos 2026 selepas pengadu mendapati pintu gulung premis perniagaannya disimbah cat berwarna kuning serta ditampal satu notis berkaitan dakwaan hutang pinjaman membabitkan anak pengadu yang telah meninggal dunia.

Pengadu juga mendakwa menerima mesej menerusi aplikasi WhatsApp daripada satu nombor telefon yang mengandungi rakaman video kejadian menyimbah cat serta gambar notis yang ditampal di premis berkenaan.

“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai dilakukan seorang lelaki yang tidak dikenali,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Hafiz berkata, pengadu tidak mengetahui sama ada anaknya pernah membuat pinjaman daripada mana-mana pemberi pinjam wang tidak berlesen.

Katanya, polis kini giat mengesan dan mengenal pasti suspek yang terlibat dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Norsamsila Daud di talian 017-8701889 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh di talian 03-6156 1222. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast