KUALA LUMPUR – Datin Seri Rosmah Mansor memperoleh penangguhan bersyarat terhadap pelaksanaan penghakiman RM67.46 juta yang diperoleh syarikat barang kemas Lubnan, Global Royalty Trading SAL sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi memerintahkan Rosmah mendepositkan keseluruhan jumlah RM67,461,027.37 ke dalam akaun bersama yang dikendalikan peguam kedua-dua pihak dalam tempoh sebulan bermula hari ini.
Pesuruhjaya Kehakiman Marianne Antoinette Ghani membenarkan permohonan penangguhan itu dengan syarat berkenaan dipatuhi.
Keputusan tersebut bermakna Rosmah tidak perlu membayar jumlah penghakiman itu secara terus kepada Global Royalty buat masa ini sehingga proses rayuannya selesai.
Marianne berkata, pengaturan berkenaan dapat melindungi kepentingan Global Royalty sekiranya rayuan Rosmah ditolak, selain memastikan wang tersebut kekal berada di Malaysia.
Pada masa sama, wang berkenaan boleh dikembalikan kepada Rosmah sekiranya beliau berjaya dalam rayuannya.
“Pengaturan ini dapat mengelakkan prejudis terhadap Global Royalty sekiranya rayuan ditolak, selain memastikan rayuan Rosmah tidak menjadi sia-sia sekiranya dibenarkan.
“Sekiranya gagal berbuat demikian, plaintif bebas mengambil tindakan pelaksanaan sebagaimana difikirkan sesuai mengikut keadaan,” ujarnya.
Mahkamah turut memerintahkan kos ditentukan berdasarkan keputusan rayuan.
Dalam penghakimannya, Marianne berkata, jumlah penghakiman yang besar semata-mata tidak boleh dianggap sebagai keadaan khas yang membolehkan penangguhan pelaksanaan diberikan.
Sebaliknya, antara pertimbangan utama mahkamah ialah sama ada Rosmah boleh mendapatkan semula wang berkenaan sekiranya pembayaran dibuat sekarang tetapi beliau kemudian berjaya dalam rayuannya.
Rosmah sebelum ini berhujah Global Royalty merupakan entiti asing yang tidak mempunyai operasi perniagaan atau aset di Malaysia, menyebabkan terdapat risiko wang berkenaan dibawa keluar dari negara atau tidak dapat diperoleh semula.
Mahkamah mendapati status Global Royalty sebagai syarikat asing serta ketiadaan aturan penguatkuasaan timbal balik menimbulkan risiko sebenar Rosmah mungkin berdepan kesukaran mendapatkan semula RM67.46 juta itu sekiranya rayuannya berjaya.

Sementara itu, peguam Global Royalty, Datuk David Gurupatham berkata, pihaknya berpuas hati dengan keputusan berkenaan kerana jumlah penghakiman itu kini dilindungi sementara menunggu proses rayuan.
Menurutnya, sekiranya Rosmah mahu mendapat manfaat daripada penangguhan tersebut, keseluruhan RM67.46 juta perlu dimasukkan ke dalam akaun pemegang taruh bersama dalam tempoh 30 hari seperti diperintahkan mahkamah.
“Sekiranya jumlah penuh penghakiman didepositkan, wang tersebut akan kekal dalam akaun pemegang taruh sementara menunggu keputusan rayuan.
“Jika Datin Seri Rosmah tidak mendepositkan keseluruhan jumlah penghakiman dalam tempoh 30 hari, Global Royalty berhak meneruskan pelaksanaan penghakiman,” katanya dalam kenyataan hari ini.
David berkata, dalam permohonan penangguhan itu, Rosmah turut mengemukakan afidavit yang menyertakan perintah ad interim berkaitan aset yang dinyatakan mempunyai anggaran nilai kira-kira RM666.739 juta.
Katanya, sekiranya syarat mahkamah tidak dipatuhi, Global Royalty akan mempertimbangkan semua saluran penguatkuasaan yang dibenarkan undang-undang termasuk, jika sesuai, terhadap aset yang didedahkan atau dikenal pasti menerusi dokumen dikemukakan kepada mahkamah.
Beliau menegaskan penghakiman yang diperoleh Global Royalty masih sah dan boleh dikuatkuasakan meskipun rayuan telah difailkan, selagi ia tidak diketepikan oleh Mahkamah Rayuan.
Pada 10 Jun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Quay Chew Soon memerintahkan Rosmah, 75, membayar kira-kira RM67.5 juta kepada Global Royalty berhubung 43 barang kemas yang didakwa dipinjamkan kepadanya.
Kes itu pada asalnya membabitkan 44 barang kemas mewah bernilai AS$14.57 juta atau kira-kira RM68.3 juta yang menurut Global Royalty dihantar kepada Rosmah pada 2018 secara konsainan untuk dilihat dan dipilih.
Syarikat berkenaan mendakwa barang kemas itu kekal menjadi miliknya dan tidak dipulangkan, menyebabkan tindakan undang-undang diambil bagi mendapatkan pampasan. -MalaysiaGazette
















