GEORGE TOWN – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) bimbang perubahan mekanisme penetapan harga rumah mampu milik mulai tahun depan boleh menyebabkan harga kediaman berkenaan meningkat, sekali gus menjejaskan kemampuan rakyat untuk memilikinya.
Timbalan Presidennya, Oh Tong Keong berkata, kerajaan sebelum ini menetapkan RM300,000 sebagai tanda aras harga rumah mampu milik di peringkat nasional, namun mekanisme baharu akan mengambil kira faktor seperti pendapatan mengikut kawasan, lokasi dan permintaan.
“Pendekatan itu berpotensi menyebabkan harga rumah mampu milik di kawasan seperti Lembah Klang mencecah sehingga RM500,000, sedangkan golongan sasaran mungkin belum tentu mempunyai kemampuan kewangan untuk menanggung harga berkenaan.
“Adakah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming ingin memberitahu rakyat bahawa harga rumah mampu milik akan turut meningkat pada masa akan datang?
“Jika harga sesebuah rumah mencecah RM500,000, masihkah ia boleh dipanggil sebagai ‘rumah mampu milik’?” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Tong Keong, istilah ‘mampu milik’ sepatutnya dinilai berdasarkan pendapatan dan kemampuan isi rumah membayar ansuran pinjaman perumahan, bukan semata-mata berdasarkan harga pasaran, lokasi atau tahap pendapatan sesuatu kawasan.
Katanya, kerajaan juga perlu mengambil kira kos sara hidup serta komitmen kewangan rakyat, khususnya golongan muda, pembeli rumah pertama dan kumpulan berpendapatan rendah serta sederhana.
“Kerajaan tidak boleh menggunakan kenaikan harga pasaran kepada RM500,000 sebagai alasan untuk menaikkan had harga rumah mampu milik kepada RM500,000.
“Persoalan yang lebih penting ialah, adakah gaji rakyat turut meningkat pada kadar yang sama dengan kenaikan harga rumah?” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan penggunaan big data dan kecerdasan buatan (AI) dalam menentukan harga rumah sekiranya analisis berkenaan tidak menggambarkan kemampuan sebenar rakyat.
“Sehubungan itu, kita menggesa Nga Kor Ming menjelaskan secara terperinci mekanisme baharu tersebut, termasuk harga maksimum rumah mampu milik mengikut kawasan, syarat kelayakan pendapatan serta kadar komitmen pinjaman.
“Kerajaan perlu memastikan rumah mampu milik benar-benar berada dalam lingkungan kemampuan rakyat dan bukan sekadar menggunakan istilah berkenaan sedangkan harga sebenar semakin tidak mampu ditanggung golongan sasaran,” katanya. – MalaysiaGazette
















