Petugas SPR mula mengemas selepas tamat proses pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke 16 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Sk Senggarang, Johor. Foto AIZAT ZAINAL, 11 JULAI 2026.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan berlaku kekosongan luar jangka bagi kerusi Parlimen P.104 Subang susulan peletakan jawatan Wong Chen, namun tiada Pilihan Raya Kecil (PRK) akan diadakan.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, pihaknya menerima pemakluman rasmi mengenai kekosongan kerusi itu daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul menerusi surat bertarikh semalam.

Menurutnya, kekosongan berkenaan berlaku selepas Wong yang memenangi kerusi Subang atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) meletakkan jawatan secara sukarela dengan surat peletakan jawatan diserahkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat pada 5 Ogos lalu.

Ramlan berkata, kekosongan kerusi Dewan Rakyat itu diisytiharkan mengikut Perkara 51 Perlembagaan Persekutuan.

“Berdasarkan kepada Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan, Yang Dipertua Dewan Rakyat telah memaklumkan kepada SPR bahawa tiada keperluan bagi mengisi kekosongan luar jangka tersebut.

“Selaras dengan itu, tiada Pilihan Raya Kecil (PRK) Bahagian Pilihan Raya Parlimen P.104 Subang akan dijalankan,” katanya dalam kenyataan.

Spekulasi mengenai kedudukan Wong mula tercetus minggu lalu selepas Johari mendedahkan seorang Ahli Parlimen Keadilan telah bertemunya dan menyatakan hasrat untuk melepaskan jawatan sebagai wakil rakyat.

Ketika itu, Johari tidak mendedahkan identiti Ahli Parlimen terbabit secara terperinci, namun memaklumkan beliau sudah menerima surat berkaitan perkara berkenaan.

Wong kemudian disahkan sebagai wakil rakyat terbabit dengan peletakan jawatannya berkuat kuasa Isnin lalu.

Perkembangan itu menyusul selepas dua lagi Ahli Parlimen yang memenangi kerusi atas tiket PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad, masing-masing mengosongkan kerusi Pandan dan Setiawangsa pada Mei lalu.

Rafizi dan Nik Nazmi meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen masing-masing berkuat kuasa 18 Mei lalu sebelum kekosongan kedua-dua kerusi berkenaan dimaklumkan kepada SPR.

Dengan perkembangan terbaharu itu, Subang menjadi satu lagi kerusi Parlimen yang dimenangi PKR pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu dikosongkan oleh penyandangnya menjelang penghujung penggal Parlimen semasa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast