MELAKA – Sudahlah tiga tahun bekerja secara haram Melaka, cucunya berusia 10 tahun pula dipaksa menjaga kedai runcit di rumah kongsi selepas ditinggalkan ibu bapanya yang pulang ke Indonesia untuk urusan kerja.
Itu pengakuan mengejutkan wanita berusia 58 tahun dikenali Faridah dan seorang kanak-kanak lelaki dikenali Danish, 10, ketika ditahan pihak berkuasa di sebuah rumah kongsi tapak pembinaan di Bukit Beruang, Ayer Keroh, di sini pagi tadi.
Serbuan dilakukan dalam operasi diketuai penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Melaka bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Ketika serbuan di kedai runcit berkenaan, wanita berkenaan sedang memasak manakala cucu lelakinya itu berada dalam salah sebuah daripada empat bilik dalam kedai runcit berkenaan yang bersambung dengan rumah kongsi.

Lebih mengejutkan, bangunan sementara itu turut dilengkapi sistem kamera litar tertutup (CCTV), pendingin hawa, wifi dan komputer meja untuk kegunaan kanak-kanak berkenaan bermain permainan video.
“Kantin ini (kedai runcit), mama yang bikin (bina) sejak empat bulan lalu tapi hari ini ibu, bapa dan abang tiada kerana pulang ke Indonesia sejak lima hari lalu untuk urusan kerja.
“Saya nak ikut, tapi tiada duit selain kena bantu nenek (Faridah) jaga kantin waktu dia kerja di atas (tapak bina). Lepas itu, saya akan main permainan video di dalam bilik.
“Saya tak berani main basikal di luar kerana pernah cedera terkena barang yang jatuh dari atas,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi di sini hari ini.

Sementara itu Faridah berkata, dia sudah tujuh tahun bekerja di Melaka bermula di Semabok, namun tidak sedar pasportnya telah tamat tempoh sejak tiga tahun lalu.
“Sebelum ini saya kerja ada pasport tapi tak perasan rupanya sudah tiga tahun pasport tamat tempoh,” dakwanya lagi.
Dalam operasi berkenaan, seramai 22 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 termasuk Seksyen 6(1)(c), salah guna pas dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen.
Sementara itu, dalam operasi kedua di Bukit Baru, JIM Melaka menahan 39 warga asing terdiri daripada tujuh warga Indonesia, tiga Pakistan, 27 Bangladesh dan dua Myanmar.
Kesemua mereka yang berusia antara 28 hingga 35 tahun ditahan atas kesalahan berkaitan imigresen termasuk salah guna pas, Peraturan 39(b), Peraturan 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – MalaysiaGazette
















