KUANTAN – Sebanyak 13 program baharu di peringkat ijazah sarjana muda bakal ditawarkan di lima politeknik terpilih, termasuk Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) seawal September 2027.
Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Datuk Sr. Shamsuri Abdullah berkata, langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan memperluas peranan politeknik dalam menyediakan laluan pendidikan tinggi berasaskan teknikal dan kemahiran.
Menurut beliau, POLISAS antara politeknik Politeknik Premier yang dilihat berupaya menawarkan dua program di peringkat ijazah sarjana muda.
Katanya, bagi POLISAS, dua program yang dirancang ialah Teknologi Makanan dan Logistik, mengambil kira kepakaran serta kekuatan institusi berkenaan dalam bidang terbabit.
“Antara kekuatan POLISAS adalah dalam bidang teknologi makanan, jadi mereka akan menawarkan program di peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang Teknologi Makanan.
“Yang kedua, politeknik juga mempunyai kepakaran dalam bidang logistik. Jadi ijazah yang kedua akan ditawarkan adalah dalam bidang logistik.
“Kita jangkakan pada September 2027,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Jubli Emas 50 Tahun POLISAS di Kuantan, hari ini.
Shamsuri berkata, program ijazah berkenaan terbuka kepada rakyat Malaysia mengikut syarat kemasukan yang ditetapkan dan bukan terhad kepada pelajar sedia ada politeknik terbabit.
Beliau berkata, pelaksanaan program berkenaan kini dalam proses mendapatkan akreditasi daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) serta badan akreditasi berkaitan mengikut bidang pengajian.
“Secara keseluruhannya, sebanyak 13 program baharu akan kita tawarkan di peringkat ijazah sarjana muda di lima buah politeknik,” katanya.
Langkah itu, tambah beliau, selari dengan hasrat kerajaan menaik taraf lima politeknik terpilih sebagai Politeknik Premier bagi memperluas penawaran pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda.
Menurut Shamsuri, usaha tersebut juga mengambil kira keperluan negara untuk melahirkan lebih ramai tenaga profesional dan berkemahiran tinggi, termasuk memenuhi keperluan kira-kira 60,000 jurutera menjelang 2030.
Dalam pada itu, beliau berkata, peruntukan pembangunan menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) turut digunakan bagi membaik pulih peralatan usang serta meningkatkan kemudahan dan peralatan akademik di POLISAS.
“Bagi menaik taraf fasiliti dan infrastruktur fizikal POLISAS, sebanyak RM16 juta telah diperuntukkan di bawah RMK-13 RP1.
“Di samping itu, peruntukan sebanyak RM11.35 juta turut disediakan bagi penggantian peralatan usang serta perolehan peralatan akademik dan peralatan sokongan akademik yang baharu,” katanya.
Katanya, pelaburan berkenaan penting bagi memastikan politeknik terus relevan dengan perkembangan teknologi dan keperluan industri.
“Alhamdulillah, kebolehpasaran memang 98 peratus ke atas. Sudah empat tahun berturut-turut kita mencapai 98 peratus ke atas.
“Keseluruhan pelajar kita ada 108,000 dalam sistem Politeknik dan Kolej Komuniti dan kita merupakan penyumbang terbesar dari sudut bilangan pelajar selepas SPM yang memasuki aliran TVET,” katanya.
Beliau berkata, pencapaian kadar kebolehpasaran itu membuktikan pendidikan TVET semakin menjadi pilihan utama, selain berupaya menyediakan tenaga kerja yang diperlukan industri dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara. – MalaysiaGazette















