KUANTAN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang memperkukuh budaya pematuhan dalam kalangan peniaga menerusi Program Zon Tumpuan Pelancongan Patuh (ZTPP) Peringkat Negeri Pahang 2026.
Program yang dilancarkan di Kuantan 188 itu memberi tumpuan kepada usaha memastikan aktiviti perdagangan di kawasan pelancongan dilaksanakan secara telus, berintegriti dan bertanggungjawab sekali gus melindungi hak pengguna serta meningkatkan keyakinan pelancong.
Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Pahang, Sim Chon Siang berkata, pendekatan itu turut menekankan konsep kawalan kendiri dalam kalangan peniaga menerusi Program PATUH.
Menurutnya, PATUH merangkumi lima elemen utama iaitu penandaan harga yang jelas, alat timbang yang ditentusahkan, transaksi jualan yang jelas, urus niaga yang jujur dan telus serta harga yang berpatutan.
“Program PATUH merupakan pendekatan kawalan kendiri dalam kalangan peniaga supaya aspek pematuhan sentiasa menjadi amalan dalam menjalankan perniagaan.
“Pada masa sama, hak dan kepentingan pengguna perlu terus dipelihara bagi memastikan mereka berasa yakin dan selamat ketika berurus niaga,” katanya dalam kenyataan.
Pelaksanaan ZTPP turut bertujuan mewujudkan persekitaran perdagangan yang selamat, kondusif di lokasi pelancongan utama Pahang.
Menurut KPDN, usaha itu penting bagi memastikan pengalaman pelancong tempatan dan antarabangsa tidak terjejas akibat amalan perdagangan yang tidak beretika, selain menyokong pertumbuhan sektor pelancongan dan ekonomi negeri.
Sepanjang pelaksanaan program, KPDN Pahang akan menjalankan pelbagai aktiviti termasuk advokasi kepenggunaan, pemeriksaan pematuhan terhadap akta dan peraturan di bawah seliaan kementerian serta khidmat nasihat kepada peniaga.
Selain itu, penyebaran maklumat berkaitan hak pengguna dan pengukuhan kerjasama strategik bersama agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan serta pengurusan premis turut diberi perhatian.
KPDN Pahang menyeru semua peniaga supaya mengamalkan budaya perniagaan beretika, mematuhi perundangan yang berkuat kuasa dan memastikan hak pengguna sentiasa dipelihara. – MalaysiaGazette
















