SHAH ALAM – Sebuah keluarga di Selangor secara median membelanjakan kira-kira RM7,266 sebulan dengan 66.3 peratus daripada perbelanjaan tertumpu kepada perumahan, makanan dan pengangkutan.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, daripada keseluruhan perbelanjaan tersebut, komponen terbesar ialah kos perumahan termasuk komitmen berkaitan seperti elektrik, air, gas dan bahan api lain merangkumi kira-kira 23.6 peratus.
“Berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), komponen kedua terbesar ialah makanan dan minuman di luar rumah seperti restoran sebanyak 20.8 peratus.
“Ia diikuti makanan dan minuman di rumah sebanyak 11.5 peratus, manakala pengangkutan pula merangkumi 10.4 peratus.
“Angka berkenaan perlu dijadikan garis ukur dalam penggubalan dasar supaya usaha pembangunan negeri benar-benar menjawab tekanan kehidupan yang dihadapi rakyat,” katanya berucap ketika menggulung Rancangan Selangor ke-2 (RS2) pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.
Sehubungan itu, kata Amirudin, kerajaan negeri menggariskan beberapa pendekatan termasuk penyediaan 200,000 unit rumah mampu milik.
“Jumlah berkenaan dijangka memberi manfaat kepada sehingga 800,000 rakyat dengan mengambil kira purata saiz keluarga empat orang.
“Dalam mendepani kos sara hidup, Gudang Makanan Selangor dan Jelajah Ehsan Rahmah dilihat sebagai antara instrumen untuk membantu menampan peningkatan kos barangan keperluan asas,” katanya.
Amirudin turut berkata, kerajaan negeri sedang membangunkan Pelan Induk Mobiliti Selangor yang antara lain merancang penyediaan hentian bas di setiap kompleks rumah mampu milik kerajaan negeri.
“Jajaran rel Kita Selangor di pesisir pantai barat serta peningkatan keberkesanan perkhidmatan bas, bas mini dan van turut dijadikan antara penyelesaian bagi mengurangkan kebergantungan rakyat terhadap kenderaan persendirian.
“Langkah itu akhirnya bertujuan meningkatkan pendapatan boleh guna atau disposable income rakyat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















