KLUANG – Penderitaan tiga anak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menghidap penyakit berbahaya mendapat perhatian Badan Kebajikan Angkatan Tentera (Bakat) yang simpati dengan nasib mereka.
Pengerusi Bakat Kem Tujuh Briged, Nur Anisa Ismail berkata, pihaknya mengambil berat dan tidak pernah mengabaikan kebajikan mereka dan sumbangan dihulurkan bagi meringankan beban.
Untuk hari ini, tiga anak anggota iaitu adik Muhammad Aisy Wafiy Mohd Saifuddin,12, yang menghidap penyakit Kanser Tulang, adik Nur Aqila Aniqa Mohammad Saiful, 2 bulan, sakit Tessier Cleft dan adik Poullinus Perez Yantes, 13, sakit Autisme Spectrum Disorder diberikan sumbangan oleh Bakat.
“Sumbangan diberikan menerusi Program Ziarah Kasih ini. Kebajikan keluarga ATM akan sentiasa menjadi keutamaan kepada Bakat khususnya mereka yang mempunyai anak-anak bermasalah kesihatan,” katanya dalam kenyataan.
Nur Anisa Ismail berkata, Bakat tidak sesekali akan mengabaikan keluarga anggota tentera terutama sekali untuk memastikan kebajikan mereka sentiasa diberikan keutamaan terutama ketika menghadapi saat-saat sukar secara bersendirian tanpa kehadiran suami.
Katanya, langkah itu dilakukan bagi membolehkan anggota yang terlibat dapat memberikan tumpuan terhadap tugas hakiki mereka dalam memastikan keselamatan negara khususnya yang berada di sempadan.
Jelas beliau, pihaknya akan melaksanakan kunjungan melalui Program Ziarah Kasih ini secara berkala agar setiap keluarga yang memerlukan perhatian Bakat dapat ditemui sebagai tanda sokongan tentang kepayahan dihadapi mereka.
“Mudah-mudahan dengan berlangsungnya Program Ziarah Kasih ini dapat memberi semangat dan motivasi kepada ibu bapa mereka dalam mengharungi kehidupan di samping mengeratkan silaturahim sesama kami,” ujarnya.
Nur Anisa yang juga isteri kepada Panglima 7 Briged, Brigedier Jeneral Datuk Zulhelmi Masdar berkata, program itu bertujuan menzahirkan keprihatinan dan sokongan Bakat terhadap ahli serta keluarga warga tentera yang memerlukan bantuan, sokongan moral serta semangat.
“Program ini juga merupakan platform dalam menyampaikan sumbangan kepada Ahli Bakat serta keluarga yang memerlukan,” tambahnya.- MalaysiaGazette
















