JOHOR BAHRU – Tular video dua anggota polis bergelut sebelum menahan seorang lelaki warga emas di hadapan sebuah kedai serbaneka di Larkin di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Azrul Hisham Mohd Shaffei berkata, pihaknya ada menerima dan terkesan dengan video berkenaan yang tular dalam sebuah Facebook.
Susulan itu, katanya, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan melakukan siasatan lanjut.
“Semakan lanjut mendapati suspek warga asing berusia 69 tahun itu ditahan dua anggota polis dari Cawangan Kereta Peronda (MPV), Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPD Johor Bahru Selatan pukul 1.50 petang.
“Pada masa sama polis menerima laporan daripada seorang wanita tempatan berusia 29 tahun iaitu pengurus kedai tersebut pukul 4.55 petang semalam berkenaan satu kejadian sebelum lelaki berkenaan ditahan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, berdasarkan laporan kejadian berlaku pukul 1.40 petang apabila suspek didakwa memaki hamun mangsa yang juga rakan sekerja pengadu selain mengganggu pelanggan lain.
“Suspek turut membawa sebatang berus pencuci dan mengacukannya kepada pengadu serta mangsa sebelum mengeluarkan kata-kata kesat dalam kedai.
“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca apabila suspek mendakwa mangsa tidak memulangkan wang baki selepas membuat pembayaran,” ujarnya.
Suspek kemudian berjaya ditahan di hadapan kedai berkenaan selepas berlaku pergelutan ketika anggota polis menjalankan tangkapan.
Selain itu suspek turut mengeluarkan kata-kata kesat terhadap kedua-dua anggota polis serta berlaku pergelutan sehingga pihak polis terpaksa menggunakan kekerasan yang minima.
“Sebatang besi berus pencuci yang dipercayai digunakan ketika kejadian turut dirampas,” kata beliau.
Hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau, manakala ujian saringan awal air kencing terhadapnya didapati negatif daripada sebarang jenis dadah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 kerana berkelakuan aib dan tidak senonoh, katanya.
Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, suspek boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, manakala kesalahan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100.
Menurut beliau, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret di sini semalam dan direman selama empat hari bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan video kejadian berkenaan dalam media sosial bagi mengelakkan salah faham atau spekulasi yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi terus talian hotline IPD Johor Bahru Selatan 07-2182323.- MalaysiaGazette
















