KLANG – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) menyasarkan sebanyak 1,259 kontena e-waste yang kini berada dalam kawalan untuk dikeluarkan secara berperingkat dari negara ini.
Komander Pintu Masuk Pelabuhan Klang AKPS, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, setakat ini sebanyak 255 kontena sudah dikeluarkan, manakala operasi pengeluaran akan diteruskan menerusi beberapa fasa.
Menurut beliau, bagi fasa seterusnya, AKPS menyasarkan pengeluaran 533 kontena, sebelum baki kontena yang masih berada dalam proses siasatan dan pemeriksaan dikeluarkan dalam fasa ketiga.
“Untuk e-waste, setakat ini kita sudah keluarkan sebanyak 255 buah. Kita sasarkan sehingga akhir tahun sebanyak 1,259.
“Untuk fasa kedua kita sasarkan 533 dan fasa ketiga bermula 1 Oktober, kita akan keluarkan baki kontena yang masih ada dalam siasatan,” katanya ketika ditemui pemberita di pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor di Pelabuhan Klang Utara, di sini, hari ini.
Beliau berkata, proses berkenaan turut bergantung kepada status kontena yang masih dibuka untuk siasatan serta keputusan pihak berkaitan sebelum ia dibenarkan untuk tindakan seterusnya.
Nik Ezanee berkata, keutamaan AKPS ketika ini adalah memastikan sebahagian besar kontena berkenaan dapat dikeluarkan daripada kawasan pelabuhan secara teratur tanpa menjejaskan proses penguatkuasaan.
“Yang penting, majoriti ini kita mahu hantar keluar. Itu sasaran kita dan saya fikir kita berada di landasan yang betul,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, AKPS turut bekerjasama rapat dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta agensi penguatkuasaan lain bagi memastikan kontena yang pernah ditahan tidak cuba memasuki semula sistem melalui laluan lain.
Menurutnya, senarai kontena yang telah dikenal pasti turut diselenggara bagi membolehkan pemeriksaan dibuat dengan lebih berkesan.
“JKDM yang mengekalkan senarai itu memang efisien. Apabila hendak masuk, mereka sudah tahu. Jadi kita akan kekalkan kerjasama dengan JKDM,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan bersepadu antara AKPS, JKDM, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Lembaga Pelabuhan Klang serta agensi lain juga adalah penting.
“Ia bagi memastikan kawalan sempadan tidak bergantung kepada satu agensi sahaja,” katanya lagi. – MalaysiaGazette















