SEGAMAT – Seorang penunggang maut selepas motosikal ditunggang dilanggar sebuah treler di Kilometer 193, Jalan Johor Bahru-Seremban di sini hari ini.

Kemalangan di Taman Yayasan itu menyebabkan Mohammad Fakrulrazzi Azahar, anak kepada Ketua Kampung Kadut di sini meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Mohd Jumazanzahir Chek Ismail berkata, kemalangan tersebut yang melibatkan motosikal jenis Yamaha dan treler Volvo berlaku pukul 1.10 pagi.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal terbabit yang ditunggang lelaki tempatan berusia 20-an bergerak keluar dari arah Jalan Bistari menghala ke Jalan Johor Bahru-Seremban.

“Motosikal tersebut telah dilanggar di bahagian belakang oleh treler dipandu lelaki tempatan berusia 40-an yang sedang bergerak lurus dari arah Segamat menuju ke Buloh Kasap,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata, akibat kemalangan tersebut penunggang motosikal maut di tempat kejadian kerana cedera parah di beberapa bahagian badan manakala pemandu terbabit tidak cedera.

Katanya, ujian saringan air kencing terhadap pemandu tersebut didapati positif dadah ketamin.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987, jika sabit kesalahan boleh dipenjara 10 hingga 15 tahun dan denda RM50,000 hingga RM100,000.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian tersebut boleh menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik lbu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat 07-9325811.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast