Aktivis hak pekerja Britain, Andy Hall
Aktivis hak pekerja Britain, Andy Hall

KUALA LUMPUR – Aktivis hak migran, Andy Hall diperintah Mahkamah Tinggi Johor Bahru membayar ganti rugi RM500,000 kepada pengarah syarikat pengambilan pekerja asing, R. Muthusamy susulan dua saman fitnah yang difailkan empat tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Noradura Hamzah memutuskan Muthusamy yang juga Pengarah Embun Karisma Resources berjaya membuktikan tuntutannya terhadap Hall yang tidak hadir di mahkamah untuk membela diri.

Muthusamy diwakili peguam, GK Sritharan dan Chai Yi Ng manakala beliau menjadi satu-satunya saksi pihak plaintif dalam perbicaraan dua saman yang telah digabungkan.

Dalam alasan penghakiman secara lisan, Noradura berkata, jumlah ganti rugi yang lebih tinggi diberikan kerana tuduhan rasuah dan sogokan terhadap Muthusamy merupakan perkara serius.

Mahkamah turut memerintahkan Hall membayar kos RM100,000 selain melarangnya menerbitkan semula kenyataan berunsur fitnah berkenaan.

Hall juga diarahkan memohon maaf kepada Muthusamy menerusi media cetak utama serta platform Facebook dan Instagram.

Sebelum ini, Hall yang lantang mengkritik Foreign Worker Central Management System (FWCMS) didakwa kerap mengeluarkan pelbagai dakwaan negatif terhadap sistem berkenaan yang dibangunkan Bestinet Sdn. Bhd. menerusi blog miliknya.

Dalam blog itu, Hall mengaitkan Bestinet dengan dakwaan berkaitan sindiket dan monopoli selain mempersoalkan ketelusan sistem serta penelitian antarabangsa.

FWCMS bagaimanapun pernah memenangi Anugerah World Summit (WSA) di Vienna, Austria dan diiktiraf sebagai antara 40 projek digital terbaik dunia dalam kategori Kerajaan dan Penglibatan Rakyat (Government and Citizen Engagement).

Dalam saman pertama yang difailkan pada 12 April 2022, Muthusamy mendakwa Hall menghantar e-mel  kepada sekurang-kurangnya 40 penerima termasuk syarikat, jabatan kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO).

Menurut Muthusamy, e-mel berkenaan mengandungi tuduhan bahawa beliau cuba menyogok Hall dengan menawarkan kerja perundingan di ATA, sebuah syarikat terkemuka dalam perkhidmatan pembuatan elektronik.

Muthusamy turut mendakwa Hall menyatakan beliau cuba mendapatkan maklumat mengenai ‘berapa banyak yang perlu dibayar untuk menutup mulut Andy Hall’.

Susulan itu, Muthusamy menghantar surat tuntutan kepada Hall pada 14 Februari.

Bagaimanapun, Muthusamy mendakwa, Hall sekali lagi mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah menerusi artikel bertajuk See you in court: Hall dares libel claimant in Dyson force labour controversy yang diterbitkan Focus Malaysia pada 17 Februari.

Muthusamy dalam kedua-dua saman itu mendakwa kenyataan dalam e-mel Hall dan laporan Focus Malaysia adalah palsu, tidak berasas serta bersifat sensasi, memalukan, menyinggung dan berniat jahat.

Beliau mendakwa kenyataan tersebut menggambarkannya sebagai terbabit dalam kegiatan menyalahi undang-undang dan jenayah, sekali gus menjejaskan reputasinya di dalam serta luar negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast