Ketua Angkatan Muda Keadilan, Muhammad Kamil Abdul Munim ketika bercakap pada sidang media selepas Perasmian Angkatan Muda Keadilan dan Wanita PKR 2026 sempena Kongres Nasional Keadilan 2026 di Melaka International Trade Center (MITC), Ayer Keroh. Foto AIZAT ZAINAL, 14 OGOS 2026.

MELAKA – Dakwaan 25 peratus daripada kira-kira 29,200 ahli Parti Bersama Malaysia (Bersama) terdiri daripada bekas anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) disifatkan tidak signifikan.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim, berkata, PKR kekal kukuh dan terus menjalankan agenda serta tanggungjawabnya seperti biasa.

“Ya, saya tidak nafikan memang ada permohonan yang dibuat oleh anggota parti sebelum daripada ini untuk keluar parti.

“Ada yang memberikan alasan mereka sudah hilang kepercayaan kepada parti dan memilih untuk bersama dengan parti yang ditubuhkan oleh Saudara Rafizi.

“Saya tak tahulah berapa peratus, tetapi mengikut laporan dan angka kita, jumlah itu (seperti didakwa Rafizi) tidak signifikan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Kongres Nasional AMK di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli bahawa sebahagian ahli parti itu menyertai Parti Bersama Malaysia (Bersama) selepas kekalahan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan awal bulan ini.

Rafizi yang juga pengasas Bersama mendakwa kira-kira 25 peratus daripada keahlian parti itu terdiri daripada bekas anggota PKR, manakala 15 peratus lagi adalah bekas anggota parti politik lain termasuk UMNO, Pas dan Bersatu.

Katanya, baki kira-kira 60 peratus pula terdiri daripada individu yang tidak pernah menyertai mana-mana parti politik sebelum ini.

Muhammad Kamil berkata, angka yang dikemukakan Rafizi itu perlu dilihat dalam konteks keseluruhan kekuatan dan struktur PKR, bukannya dijadikan ukuran bahawa parti berkenaan sedang kehilangan sokongan secara besar-besaran.

“…hari ini kita boleh lihat bahawa parti ini terus kukuh, dan kehadiran para perwakilan dengan jumlah yang sangat tinggi.

“Itu menunjukkan komitmen serta tekad mereka untuk terus bersama dengan Keadilan,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast