Ketua Wanita Keadilan, Fadhlina Sidek ketika bercuap pada Perasmian Angkatan Muda Keadilan dan Wanita PKR 2026 sempena Kongres Nasional Keadilan 2026 di Melaka International Trade Center (MITC), Ayer Keroh. Foto AIZAT ZAINAL, 14 OGOS 2026.

AYER KEROH – Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fadhlina Sidek menggesa seluruh jentera Kerajaan Perpaduan memperkukuh penerangan kepada rakyat dengan memastikan setiap kawasan mempunyai jurucakap yang mampu menjelaskan isu dan dasar kerajaan secara berkesan.

Beliau berkata, usaha penerangan tidak boleh hanya bergantung kepada kementerian, sebaliknya perlu digerakkan bersama oleh semua pihak yang menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan.

“Setiap rakan-rakan kita mesti ada jurucakapnya. Penerangan kita, komunikasi kita, ketua wanita kita, kena sebut perkara-perkara ini dan mesti disampaikan dalam masyarakat,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pendidikan berucap pada Kongres Nasional Tahunan Wanita Keadilan 2026 di MITC, di sini, hari ini.

Fadhlina berkata, gerak kerja di peringkat akar umbi perlu dilakukan secara dekat dengan masyarakat termasuk melalui pendekatan bersemuka dan komunikasi secara terus bagi memastikan maklumat berkaitan isu semasa dapat difahami rakyat.

Katanya, jentera parti juga perlu kembali menjadi suara rakyat dengan memberi penerangan mengenai isu yang dianggap besar dan mempunyai kepentingan kepada masyarakat.

“Bagaimana kita harus kembali menjadi suara itu dan memberi makluman kepada rakyat bahawa ini adalah sesuatu yang sangat besar sedang berlaku dalam negara kita,” katanya.

Fadhlina berkata, semua pihak perlu memahami bahawa Kerajaan Perpaduan dibina secara bersama dan setiap dasar serta isu polisi negara perlu dipertahankan secara kolektif.

“Kita tidak boleh hanya bergantung kepada kementerian-kementerian. Kita kena ingat, kita masuk dan bina kerajaan ini sebagai Kerajaan Perpaduan.

“Semua isu polisi negara itu adalah polisi perpaduan. Jadi kalau ada isu tertentu, kita mesti pertahankan bersama dan melihat bahawa ini adalah Kerajaan Perpaduan yang sedang kita pertahankan,” tegasnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast