TELUK KUMBAR – Hakisan pantai yang semakin ketara di Pantai Tanjung Asam, Gertak Sanggul di sini, bukan sahaja mengubah struktur pesisir pantai, malah turut menjejaskan kemudahan awam berhampiran kawasan berkenaan.
Tinjauan MalaysiaGazette mendapati hakisan semakin menghampiri kawasan kemudahan awam apabila dua gazebo batu yang terletak berhampiran pantai mengalami kerosakan dan tidak lagi sesuai digunakan.
Keadaan itu sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan pengunjung yang datang untuk berehat dan menikmati pemandangan pantai.
Nelayan, Aim Chin Seng, 35, berkata, hakisan di kawasan berkenaan berlaku sejak beberapa tahun lalu dan semakin memburuk sehingga menyebabkan struktur batu yang sebelum ini digunakan sebagai benteng penahan ombak runtuh.
Katanya, keadaan itu menyukarkan nelayan untuk mengikat sampan, selain menyebabkan mereka terpaksa mengeluarkan wang sendiri bagi melakukan kerja pembaikan kecil.

“Kami pernah keluarkan kira-kira RM1,000 untuk membeli simen dan cuba mengukuhkan kawasan yang mula runtuh, namun usaha itu tidak bertahan lama apabila kembali rosak dipukul ombak.
“Selain menyusahkan orang ramai, keadaan ini turut memberi kesan kepada nelayan kerana kami semakin sukar mencari tempat sesuai untuk mengikat sampan,” katanya ketika ditemui di sini.
Menurutnya, kawasan berkenaan sebelum ini mempunyai hamparan pasir dan sering dikunjungi orang ramai untuk bersantai, namun hakisan menyebabkan keadaan pantai berubah dengan ketara.

Sementara itu, pengunjung dari Balik Pulau, Muhammad Elias Abdullah, 26, berkata, hari ini merupakan kunjungan pertamanya ke Pantai Tanjung Asam bersama isteri dan anak untuk memancing.
Katanya, keadaan pantai yang berdepan hakisan bagaimanapun sedikit sebanyak menjejaskan keselesaan pengunjung terutama golongan berusia serta kanak-kanak.
“Kalau kawasan ini dibaiki, terutama kemudahan awam dan bahagian yang terjejas akibat hakisan, saya percaya lebih ramai pengunjung akan datang.
“Secara tidak langsung ia boleh membantu menjana ekonomi penduduk setempat,” katanya.
Bagi Mohd Fauzi Ali, 31, dari Pokok Sena, Kedah, tindakan menangani hakisan perlu dilakukan segera bagi mengelakkan kawasan berkenaan kehilangan tarikan kepada pengunjung.

“Kalau masalah hakisan ini tidak ditangani, saya bimbang lama-kelamaan tiada lagi kawasan yang sesuai untuk pengunjung.
“Tempat ini cantik dan kalau dijaga elok, tentu lebih ramai orang mai (datang). Sayang kalau kawasan yang ada potensi untuk dikunjungi orang ramai dibiarkan rosak,” katanya. – MalaysiaGazette















