KUALA LUMPUR – Tekad seorang ibu menabung demi masa depan anaknya membuahkan rezeki apabila Muhammad Yaa’sin Muhamad Pilus, individu Sindrom Down memenangi RM100,000 menerusi BSN Sijil Simpanan Premium (BSN SSP) dalam Cabutan Negeri – Hadiah Bonus pada Mei lalu.
Suzanah Ismail, 54, seorang pembantu farmasi di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata, kemenangan tersebut membawa makna yang jauh lebih besar daripada sekadar ganjaran kewangan.
Amalan menabung secara konsisten selama lebih sedekad membuahkan hasil, apabila Suzanah berjaya menyediakan jaminan kewangan lebih kukuh buat anaknya, seorang individu Sindrom Down ringan berusia 24 tahun.
Lebih 10 tahun lalu, Suzanah mula menabung melalui BSN SSP atas nama anaknya dengan menyimpan sedikit demi sedikit mengikut kemampuan demi masa depan yang lebih terjamin.
Walaupun anaknya kini tidak bekerja disebabkan keadaannya, beliau tidak pernah berputus asa untuk membina tabungan sebagai jaringan keselamatan kewangan buat insan istimewa dalam hidupnya itu.
“Sebagai seorang ibu, perkara yang paling saya risaukan ialah masa depan anak saya. Sebab itu saya mulakan tabungan atas namanya supaya suatu hari nanti beliau mempunyai simpanan yang boleh membantu memudahkan urusannya.
“Saya sama sekali tidak menyangka perjalanan kami menabung akhirnya membawa rezeki sebesar ini. Apabila dimaklumkan anak saya memenangi RM100,000, saya benar-benar terharu dan amat bersyukur.
“Saya berharap kisah kami dapat memberi inspirasi kepada ibu bapa lain, terutamanya mereka yang mempunyai anak berkeperluan khas, supaya mula menabung mengikut kemampuan,” katanya.
Suzanah berkata, walaupun jumlahnya kecil, jika dilakukan secara konsisten, ia mampu memberi manfaat yang besar pada masa hadapan. Kita juga tidak pernah tahu rezeki yang menanti hasil daripada usaha dan disiplin kita.
Pemangku Ketua Eksekutif BSN, Mujibburrahman Abd Rashid berkata, kisah Suzanah mencerminkan objektif sebenar BSN SSP yang menggalakkan rakyat Malaysia membudayakan amalan menabung secara konsisten sambil membuka peluang menikmati ganjaran yang membawa perubahan bermakna dalam kehidupan.
“Kisah Suzanah mengingatkan kita bahawa perancangan kewangan bukan ditentukan oleh jumlah simpanan, tetapi oleh kesungguhan untuk bermula dan kekal konsisten. Setiap ibu bapa pastinya mengimpikan masa depan yang lebih baik buat anak-anak mereka, dan usaha beliau sepanjang lebih sedekad ini wajar dijadikan contoh.
“Di BSN, kami sentiasa komited menyediakan penyelesaian simpanan yang mudah diakses dan memberi nilai tambah kepada rakyat Malaysia dalam mencapai matlamat kewangan mereka,” katanya.
Jelasnya, melalui BSN SSP, pelanggan bukan sahaja dapat mengembangkan simpanan mereka, malah berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik sekali gus mengukuhkan kepentingan perancangan kewangan masa panjang serta menyokong usaha memperkasakan budaya menabung dalam kalangan semua lapisan masyarakat. – MalaysiaGazette
















