Ketua Wanita Keadilan, Fadhlina Sidek pada sesi Ucapan Penangguhan Penggulungan sempena Kongres Nasional Keadilan 2026 di Melaka International Trade Center (MITC), Ayer Keroh. Foto AIZAT ZAINAL, 14 OGOS 2026

AYER KEROH – Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fadhlina Sidek mengingatkan semua pihak supaya tidak menjadikan isu akidah dan agama sebagai bahan politik, sebaliknya memberi ruang kepada persaingan idea serta usaha membuktikan siapa yang mampu menawarkan penyelesaian terbaik kepada rakyat.

Beliau berkata, isu berkaitan agama perlu dihormati dan tidak seharusnya ditunggang sewenang-wenangnya demi kepentingan politik, khususnya ketika berdepan pilihan raya.

“Jangan masukkan soal-soal akidah dan menunggang agama semena-mena. Kita hormat dan kita juga merasakan ruang yang ada ini adalah ruang untuk kita melebarkan dan bersaing dari segi idea, konsep siapa yang lebih baik dan sebagainya.

“Bukan berkempen saling memburukkan antara satu sama lain,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Wanita Nasional PKR sempena Kongres Nasional PKR, hari ini.

Dalam pada itu, Fadhlina menyeru seluruh pimpinan dan anggota PKR supaya kembali kepada akar umbi serta memperkukuhkan hubungan dengan rakyat melalui kerja-kerja di lapangan.

Menurutnya, parti perlu sentiasa peka terhadap keadaan masyarakat di sekeliling dan mengambil tindakan membantu mereka yang memerlukan.

“Lihat-lihat rumah jiran, takut-takut ada banyak yang perlu dibantu. Jadi ini antara perkara yang juga mesti kembali sebagai asas kita dengan rakyat,” katanya.

Fadhlina turut menyeru anggota parti supaya terus setia, taat dan yakin terhadap perjuangan PKR walaupun berdepan pelbagai ujian serta cabaran.

Beliau berkata, kekuatan parti perlu dibina melalui kerja keras dan persiapan jentera di semua peringkat bagi memastikan perjuangan bersama rakyat dapat diteruskan.

“Walau ditawan seribu awan, tetap purnama berseri juga. Walau berteman seribu kawan, tetap yang setia dicari juga.

“Jadi teruskan kerja keras kita, setia, taat dan yakin dengan perjuangan ini. Insya-Allah, saya sangat yakin, we will do better,” katanya.

Beliau turut menggesa seluruh jentera PKR memastikan kesiapsiagaan pasukan masing-masing, selain mendoakan agar semua anggota diberikan kesihatan, kekuatan dan semangat untuk terus berkhidmat kepada rakyat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast