KUALA LUMPUR – Sesi penerangan, libat urus dan meja bulat bersama guru; Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pemegang taruh sepatutnya dilaksanakan terlebih dahulu sebelum sesuatu polisi yang memberi implikasi langsung kepada tugas dan tanggungjawab guru diperkenalkan.
Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Fazreen Fauzi berkata, langkah itu penting supaya guru dan pemegang taruh yang berkaitan benar-benar memahami tujuan, skop, prosedur serta bentuk perlindungan yang diberikan kepada mereka.
Tambahnya, proses penerangan dan libat urus itu sewajarnya menjadi langkah awal, bukan hanya dilaksanakan setelah timbul kegusaran.
“GPMS menyeru agar Kementerian Pendidikan (KPM) membuka ruang dialog yang lebih menyeluruh bersama warga pendidik bagi memastikan Polisi Perlindungan Murid Sekolah dapat dilaksanakan dengan jelas, adil dan mengambil kira realiti di sekolah.
“Melindungi murid adalah amanah. Melindungi guru juga tanggungjawab,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, beliau telah meminta Ketua Pengarah Pendidikan dan Penasihat Undang-Undang KPM untuk mengadakan satu sesi khas bersama pemegang taruh berhubung pelaksanaan Polisi Perlindungan Murid Sekolah.
Menurut Fadhlina, ia bagi menjawab dan meneliti setiap kebimbangan yang dizahirkan oleh guru-guru berhubung pelaksanaan polisi itu.
Terdahulu, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menyifatkan paksaan kepada guru untuk menandatangani aku janji kepatuhan polisi perlindungan murid melalui surat pekeliling ikhtisas (SPI) adalah sesuatu yang amat tidak wajar.
Sementara itu, Fazreen menambah, GPMS percaya kumpulan murid dan guru tidak boleh dipisahkan dalam usaha membina sekolah yang selamat, harmoni dan kondusif untuk pendidikan anak-anak Malaysia. – MalaysiaGazette
















