Muhammad Zeeshan didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Seorang lelaki warga Pakistan mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan dan menyebabkan kecederaan terhadap seorang lelaki, minggu lalu.

Tertuduh, Muhammad Zeeshan Akbar, 24, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Inggeris di hadapan Hakim Juraidah Abbas.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan rompakan harta iaitu sebuah telefon bimbit jenama Oppo Find N5 milik Teh Jiann Zhao dan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Blok 17, Flat Taman Batu Bukit di Tanjung Tokong di sini, jam 10 malam pada 5 Ogos lalu.

Bagi kesalahan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan hendaklah juga dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Anuarul Hakim Abdul Muen tidak menawarkan sebarang jaminan berikutan tertuduh tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Mahkamah kemudian menetapkan 14 September depan untuk sebutan fakta kes dan hukuman serta lantikan peguam sekiranya ada.

Mahkamah juga tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.

Difahamkan, tertuduh dipercayai menyamar sebagai pembeli dalam urusan jual beli telefon secara tunai ketika penghantaran (COD) sebelum menyerang mangsa dan melarikan telefon bimbit berkenaan.

Mangsa berusia 31 tahun itu dikatakan mengalami kecederaan pada muka dalam kejadian itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here