Anwar Ibrahim

 

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, reformasi di bawah kerangka Ekonomi Madani serta langkah proaktif kerajaan membantu Malaysia mengekalkan pertumbuhan ekonomi meskipun berdepan gangguan rantaian bekalan global dan ketidaktentuan geopolitik.

Beliau berkata, langkah kerajaan termasuk menyediakan pembiayaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas serta mengekalkan subsidi bahan api secara bersasar membantu melindungi rakyat dan perniagaan daripada kesan kejutan ekonomi luar.

“Apakala krisis Asia Barat menggugat rantaian bekalan dan ekonomi dunia, Kerajaan Madani telah mengambil langkah serta-merta untuk melindungi rakyat dan perniagaan.

“Usaha ini membantu mengekalkan perbelanjaan isi rumah, merancakkan kegiatan perniagaan serta mempertahankan momentum pertumbuhan pada suku kedua 2026,” katanya yang juga menteri kewangan.

Bank Negara Malaysia hari ini mengumumkan pertumbuhan ekonomi berkembang 6.0 peratus pada suku kedua 20226.

Pertumbuhan itu menjadikan ekonomi Malaysia berkembang 5.7 peratus pada separuh pertama 2026, sekali gus mengukuhkan kedudukan negara untuk mencapai sasaran pertumbuhan kerajaan antara empat hingga lima peratus bagi tahun ini.

Permintaan domestik yang berdaya tahan dan sektor luar negeri yang rancak memacu pertumbuhan keluaran dalam negeri kasar (KDNK) untuk melepasi anggaran awal oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan unjuran median Bloomberg sebanyak 5.8%.

Prestasi ini merupakan yang paling kukuh bagi suku kedua di luar tempoh pandemik sejak 2014.

Pencapaian ini meletakkan ekonomi Malaysia pada landasan yang kukuh untuk mencapai unjuran pertumbuhan oleh kerajaan iaitu antara 4.0% hingga 5.0 % bagi tahun 2026.

Menurut Anwar, inflasi juga kekal terkawal pada 1.9 peratus pada suku kedua meskipun gangguan rantaian bekalan meningkatkan tekanan harga di peringkat global.

Katanya, bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan subsidi bersasar menerusi Budi Madani terus disalurkan bagi mengurangkan beban rakyat, khususnya golongan yang terkesan akibat peningkatan kos sara hidup.

“Kerajaan Madani bukan sekadar mengejar angka pertumbuhan yang tinggi. Kekayaan dan kemajuan negara mesti dimanfaatkan untuk mengangkat harkat rakyat melalui pendapatan yang lebih bermakna, peluang pekerjaan yang bermutu serta bantuan kepada golongan rentan,” katanya.

Beliau pada masa sama mengakui masih ramai rakyat berdepan tekanan kos sara hidup, manakala sebahagian pekerja dan perniagaan turut menghadapi keadaan sukar susulan pergolakan ekonomi dunia.

Dalam pada itu, pasaran buruh kekal menyokong pertumbuhan dengan guna tenaga meningkat 1.1 peratus kepada 16.8 juta orang, manakala kadar pengangguran berada pada 3.0 peratus.

Sektor luar negara turut mencatat prestasi kukuh apabila jumlah dagangan meningkat 34.1 peratus kepada RM1 trilion, manakala lebihan dagangan melonjak lebih lima kali ganda kepada RM84 bilion.

Anwar berkata Malaysia juga berada pada kedudukan strategik untuk memanfaatkan permintaan global terhadap produk elektrik dan elektronik (E&E), perkembangan teknologi, penggunaan kecerdasan buatan (AI) serta pendigitalan.

Kerajaan, kata Anwar, akan terus melaksanakan agenda reformasi di bawah Ekonomi Madani dengan disiplin fiskal kekal sebagai keutamaan, termasuk usaha mengurangkan defisit fiskal kepada 3 peratus atau lebih rendah dalam jangka sederhana. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here