ALOR GAJAH – Polis meminta bantuan orang ramai mengesan dua remaja perempuan berusia 16 tahun yang dilaporkan hilang di daerah ini sejak Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan pelajar Tingkatan Empat itu pada jam 10.46 malam, 11 Ogos.
“Remaja pertama dikenali Siti Nur Aaira Aidi, 16, berbangsa Melayu dan mempunyai ketinggian 157 sentimeter serta berat 50 kilogram.
“Dia berkulit gelap dan beralamat di Bandar Bukit Mahkota, Kajang, Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, remaja kedua pula dikenali sebagai Nur Aisy Humaira Mohd Saad, 16, juga berbangsa Melayu.
“Dia mempunyai ketinggian serta berat sama dengan Siti Nur Aaira dan berkulit cerah.
“Alamat terakhirnya adalah di Bukit Sentosa, Rawang, Selangor,” katanya.
Ahmad berkata, polis sedang menjalankan usaha mengesan kedua-dua remaja berkenaan dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya tampil membantu siasatan.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kedua-dua individu ini boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Shahrul Izwan Mohd Suffian di talian 017-8180106.
“Maklumat juga boleh disalurkan ke mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Beliau turut meminta orang ramai yang mengetahui keberadaan kedua-dua remaja berkenaan supaya segera menghubungi pihak polis. – MalaysiaGazette
















