Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fuziah Salleh bercakap pada sidang media Perasmian Angkatan Muda Keadilan dan Wanita PKR 2026 sempena Kongres Nasional Keadilan 2026 di Melaka International Trade Center (MITC), Ayer Keroh. Foto AIZAT ZAINAL, 14 OGOS 2026.

AYER KEROH – Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak menetapkan tempoh masa tertentu untuk Timbalan Presidennya, Nurul Izzah Anwar bercuti bagi menyambung pengajian.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Fuziah Salleh berkata, keputusan itu dibuat bagi memberi ruang kepada Nurul Izzah menentukan tempoh cutinya selepas Kongres Nasional PKR 2026 sebelum kembali meneruskan tugas dalam parti.

“Setakat ini kita (PKR) tidak ada beri had masa kepada timbalan presiden untuk bercuti kerana beliau ingin menyambung pelajaran dan kita sedia apabila beliau bersedia untuk meneruskan tugas,” katanya dalam sidang media di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), hari ini.

Bagaimanapun, katanya, Nurul Izzah perlu menyelesaikan semua tugasan berkaitan Kongres Nasional PKR sebelum memulakan tempoh cutinya.

Katanya, Nurul Izzah masih akan menjalankan tanggungjawabnya sebagai timbalan presiden termasuk menghadiri serta menyempurnakan agenda utama kongres, minggu ini.

“Timbalan Presiden akan bercuti selepas kongres, menyelesaikan tugas sewaktu kongres maksudnya perasmian AMK, Wanita dan kemudian dalam kongres dan penggulungan dan selepas itu baru timbalan presiden akan bercuti,” katanya.

Sebelum ini, Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR bersetuju memberikan cuti sementara kepada Nurul Izzah selepas Kongres Nasional PKR 2026 bagi membolehkan beliau memberi tumpuan kepada pengajian.

Nurul Izzah sebelum ini dipilih sebagai Timbalan Presiden PKR bagi penggal 2025-2028 selepas memenangi pemilihan parti pada Mei 2025. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast