KUALA LUMPUR – Debaran semakin terasa menjelang Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-40 yang akan disiarkan secara langsung TV3 dari Unifi Arena, Bukit Jalil malam ini yang merupakan pentas pengiktirafan buat komposer dan penulis lirik menerusi karya terbaik.
AJL40 turut menilai persembahan serta kemampuan vokal penyanyi dalam mempertaruhkan karya masing-masing.
Sebanyak 10 lagu bakal berentap pada malam kemuncak AJL40, terdiri daripada Lumangad Oku Dika (Ryenald Guntabid) Kamu (Aina Abdul), Cak Cak Cekuk (Wani Kayrie) Ke Mana Ni (Luca Sickta, Kmy Kmo & Salammusik).
Selain itu, Tak Adil (Aisha Retno), Tangisan Seorang Pendosa (Marsha Milan), Semacam Pandora (Hazama), Lemah (Dayang Nurfaizah) Nurcinta (Amir Masdi) serta Tiwikarma (K.O.I)
Sementara itu, selebriti Neelofa kembali mencuri perhatian dengan ramalan lagu pilihan untuk menduduki kelompok tiga terbaik AJL apabila memilih lagu Kamu dendangan Aina Abdul sebagai calon utama membawa pulang trofi juara.
Selain itu, isteri kepada pendakwah bebas Haris Ismail atau PU Riz itu turut menyenaraikan Tak Adil nyanyian Aisha Retno serta Tiwikarma oleh K.O.I sebagai dua lagi karya pilihan untuk mengisi kelompok teratas pentas berprestij tersebut.
Bukan itu sahaja, Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd. Noor, 36, juga tidak sabar menantikan persembahan Cak Cak Cekuk nyanyian Wani Kayrie pada malam kemuncak nanti.
Sebelum ini, ramalan bekas pengacara MeleTOP itu sering menjadi perhatian peminat AJL memandangkan rekodnya apabila tekaannya tepat selama sembilan edisi berturut-turut bermula AJL31 hingga AJL39.
Ramalan selebriti itu menjadi kenyataan pada AJL36 apabila Pelukan Angkasa dendangan Shila Amzah bersama Kumpulan Orang Gila (SOG) dinobatkan sebagai juara.
Tidak berhenti di situ, ramalan Neelofa untuk AJL39 turut mengena apabila Hening Rindu nyanyian Marsha Milan dan Bukan Lagi Kita dendangan Nadeera masing-masing berjaya mencuri perhatian serta kedudukan dalam pertandingan. – MalaysiaGazette
















