Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap pada media selepas perasmian Kongres Nasional Keadilan 2026 di Melaka International Trade Center (MITC), Ayer Keroh. Foto AIZAT ZAINAL, 15 OGOS 2026.

AYER KEROH – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan beliau sudah dimaklumkan mengenai tindakan enam Ketua Cabang PKR Negeri Sembilan yang didakwa mendesak parti menilai semula kepimpinan Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN).

Bagaimanapun, Anwar berkata beliau belum menerima surat berkenaan secara rasmi, namun tidak menganggap perkara itu sebagai satu masalah besar.

“Tak ada (terima), surat biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas selesai menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada Kongres Nasional PKR di Melaka International Trade and Exhibition Centre (MITC), hari ini.

Ketika ditanya sama ada beliau sudah menerima surat berkenaan, Anwar menjawab: “Belum, tapi saya dimaklumkan.”

“Tak ada… tak ada masalah. Kita boleh bincang. Okey?” katanya.

Sebelum ini, enam Ketua Cabang PKR Negeri Sembilan didakwa menghantar surat kepada Anwar bagi memohon parti menilai semula kepimpinan Aminuddin susulan prestasi PKR pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan baru-baru ini.

Enam Ketua Cabang terbabit ialah Zainal Fikri Abd Kadir (Jelebu), Dr Jufitri Joha (Rembau), Noor Iskandar Mohamad Nor (Seremban), Ahmad Izzudin Ismail (Rasah), Ismail Muhamad Nor (Kuala Pilah) dan V Raja (Tampin).

Berdasarkan surat berkenaan, mereka mendakwa telah hilang kepercayaan terhadap Aminuddin dan menyatakan persetujuan sekiranya kepimpinan MPN Negeri Sembilan ditukar bagi membolehkan gerak kerja parti disusun dengan pendekatan lebih mampan, segar dan praktikal.

Mereka turut memohon Presiden PKR menjalankan penilaian menyeluruh terhadap prestasi kepimpinan negeri serta mendapatkan pandangan Ketua-Ketua Cabang dan pimpinan akar umbi berhubung hala tuju organisasi parti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast