AYER KEROH – Kerajaan dan jentera parti disaran memberi tumpuan serius terhadap isu agihan ekonomi serta keberkesanan komunikasi bagi memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi negara benar-benar dirasai rakyat di peringkat akar umbi.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, perkara itu antara aspek yang perlu diberi perhatian susulan amanat Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan dasar beliau hari ini.
Beliau yang juga bekas menteri kewangan berkata, meskipun indikator makroekonomi negara termasuk pertumbuhan ekonomi, inflasi dan kadar pengangguran menunjukkan perkembangan positif, masih ramai rakyat belum merasai limpahan pertumbuhan berkenaan.
Menurutnya, pertumbuhan ekonomi sekitar enam peratus yang mengatasi jangkaan dan konsensus pasaran tidak boleh dijadikan ukuran tunggal kerana manfaatnya belum tentu dapat diagihkan secara menyeluruh.
“Kita tidak boleh nafikan bahawa limpahan ekonomi ini tidak serata. Pertumbuhan ekonomi perlu saksama dan disebabkan itu, kita perlu melihat semula sesetengah polisi yang telah diumumkan.
“Saya sendiri telah mengemukakan beberapa cadangan untuk memastikan ekonomi negara dirasai oleh semua lapisan masyarakat,” katanya ketika ditemui pada Kongres Nasional PKR 2026 di Melaka International Trade Centre (MITC), hari ini.
Mengulas sama ada strategi komunikasi ekonomi kerajaan perlu direformasikan, Tengku Zafrul mengakui masih terdapat ruang yang besar untuk penambahbaikan.
Katanya, mengambil kira maklum balas pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan sebelum ini, ramai rakyat menyuarakan mereka tidak mendapat maklumat atau menyedari bantuan kerajaan yang telah diumumkan.
“Kita perlu mendengar dan memberi maklumat yang tepat kepada rakyat. Isu penyampaian dan komunikasi ini perlu ditambah baik supaya polisi yang digubal benar-benar sampai kepada sasaran,” katanya.
Tengku Zafrul turut mengingatkan supaya parti tidak terus menyalahkan parti komponen atau pihak lain dalam kerajaan, sebaliknya berani melihat kelemahan sendiri dan melakukan penambahbaikan.
“Kita tidak boleh hanya menyalahkan parti komponen lain atau rakan dalam Kerajaan Perpaduan. ‘We have to look in the mirror’.
“Kita sendiri kena betulkan jentera parti kita kerana ahli parti memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat dan bantuan kepada rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette
















