Pasukan bomba sedang memadamkan helikopter yang terbakar di kawasan karbon MRO, Lapangan Terbang Subang, tengah hari tadi.

KUALA LUMPUR – Sebuah helikopter terbakar ketika hendak berlepas bagi tujuan pengujian enjin selepas kerja-kerja pembaikan di kawasan karbon MRO, Lapangan Terbang Subang, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, empat individu yang berada dalam helikopter berkenaan berjaya menyelamatkan diri dan dilaporkan selamat.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.30 tengah hari sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Jelutong tiba di lokasi kira-kira empat minit kemudian.

Komander operasi yang tiba di lokasi mengesahkan sebuah helikopter terbakar 100 peratus dan kerja pemadaman sedang dijalankan oleh pasukan Airport Fire and Rescue Service (AFRS) serta anggota bomba bertugas.

Menurutnya, setakat ini, anggota bomba masih menjalankan kerja-kerja pemadaman di lokasi.

Operasi membabitkan lima anggota BBP Bukit Jelutong dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT).

Punca kejadian masih dalam siasatan.

Sementara itu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan sebuah helikopter Kamov Ka-32S, dengan nombor pendaftaran UR-CIT, terlibat dalam kejadian kebakaran di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor, hari ini.

Kejadian berlaku kira-kira jam 12.28 tengah hari ketika helikopter berkenaan sedang menjalani ujian enjin di darat  sebagai sebahagian daripada aktiviti penyelenggaraan.

Susulan kejadian itu, landasan lapangan terbang berkenaan kini ditutup.

Semua penerbangan dari dan ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, ditangguhkan sehingga diberitahu kelak.

Pada masa sama para penumpang dinasihatkan menghubungi syarikat penerbangan masing-masing untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Kejadian berkenaan akan disiasat oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia mengikut Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast