KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Harapan (AMH) menyifatkan perjuangan mahasiswa menuntut kebebasan bukan sekadar angan-angan susulan pengumuman kerajaan untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971.
Pengarah Komunikasinya, Mohammad Ammar Atan berkata, pengumuman bersejarah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menunjukkan satu lagi reformasi bakal dilaksanakan.
“Satu demi satu reformasi dilaksanakan. Hari ini, satu lagi sejarah tercipta dengan pemansuhan AUKU.
“Ya, mungkin ada anak muda dan aktivis yang kecewa kerana reformasi tidak bergerak sepantas yang diharapkan.
“Perjuangan kita dulu tidak sia sia. Teruskan mendesak, teruskan menyokong reformasi,” ujarnya dalam hantaran menerusi laman sosial Facebook hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri mengumumkan kerajaan akan memansuhkan AUKU 1971 bagi memberi lebih kebebasan kepada mahasiswa.
Presiden PKR itu berkata, keputusan dibuat selepas mengambil kira pandangan mahasiswa yang mahukan ruang kebebasan lebih luas, termasuk melalui memorandum yang dikemukakan kepada kerajaan. – MalaysiaGazette
















