KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) menyambut baik cadangan pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) serta usaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) membangunkan kerangka perundangan baharu yang lebih komprehensif bagi pendidikan tinggi negara.
Naib Canselor UM, Datuk Seri Profesor Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman berkata, hala tuju berkenaan selaras dengan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 menerusi agenda pembentukan One Higher Education Act.
Menurutnya, usaha itu penting bagi memastikan kerangka perundangan pendidikan tinggi kekal relevan dengan perubahan landskap pendidikan, selain memperkukuh autonomi institusi, kebebasan akademik, suara mahasiswa, tadbir urus dan akauntabiliti universiti.
“UM bersedia memberikan kerjasama serta menyumbang pandangan dan kepakaran kepada KPT dan semua pihak berkepentingan dalam proses libat urus serta pembangunan kerangka perundangan baharu ini.
“Sebarang pembaharuan perlu dilihat secara menyeluruh, bukan hanya tertumpu kepada aspek tertentu, dengan mengambil kira keseluruhan ekosistem pendidikan tinggi serta peranan universiti dalam pembangunan mahasiswa, masyarakat dan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Noor Azuan berkata, pembaharuan itu juga perlu menyokong matlamat melahirkan mahasiswa dan masyarakat yang berilmu, matang dalam pemikiran, bertanggungjawab dalam tindakan serta mampu menyumbang secara bermakna kepada pembangunan universiti dan negara.
“Ini antara asas penting dalam memastikan institusi pendidikan tinggi terus dihormati, diyakini dan berupaya melahirkan generasi yang disegani di peringkat nasional dan global,” katanya. – MalaysiaGazette
















