Gambar hiasan

 

BUDAPEST – Seramai 12 orang maut manakala sekurang-kurangnya 10 lagi cedera parah selepas sebuah bas dari Poland terbalik di sebuah lebuh raya di Hungary awal hari Ahad.

Bas berkenaan yang dalam perjalanan dari Serbia menuju Poland terbabit dalam kemalangan kira-kira jam 1 pagi (11 malam Sabtu GMT) di lebuh raya M3 berhampiran Mezokeresztes, timur Budapest, menurut kenyataan polis.

Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan Hungary berkata, bas yang membawa 57 penumpang dan dua pemandu itu terbabas dari jalan raya sebelum masuk ke dalam parit dan berhenti dalam keadaan mengiring.

Seramai 11 mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia di hospital.

Perkhidmatan ambulans pula memaklumkan 37 orang cedera  ringan.

Pasukan bomba dan penyelamat terpaksa mengeluarkan beberapa mangsa melalui tingkap bas kerana mereka terperangkap di dalam kenderaan berkenaan.

Dua kren kemudian digunakan untuk mengangkat bas tersebut keluar dari parit, menurut agensi pengurusan bencana itu.

Kemalangan berkenaan merupakan kemalangan jalan raya paling buruk di Hungary sejak sebuah kereta api melanggar bas pelancong dari Jerman di Siofok pada 2003, yang mengorbankan 33 orang.

Pada 2002, sebuah bas yang membawa penumpang dari Poland turut terbabit dalam kemalangan berhampiran bandar Balatonszentgyorgy di barat Hungary, mengakibatkan 19 orang maut.

Magyar mengumumkan angka kematian terbaharu itu menerusi media sosial.

“Saya menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa. Saya berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi menyelamat,” katanya.

Menteri Luar Poland, Radoslaw Sikorski, menyifatkan kejadian itu sebagai “kemalangan bas tragik membabitkan pelancong Poland” dalam hantaran di X.

“Perkhidmatan konsular sedang bertindak. Kami berhubung dengan pihak berkuasa Hungary,” katanya. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here