Keadaan jerebu yang semakin buruk di sesetengah kawasan di Sarawak. - Foto: Bernama

KUALA LUMPUR – Tiga kawasan di Sarawak merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat jam 11 pagi tadi, dengan Serian mencatat bacaan tertinggi iaitu 162.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Azuri Azizah Saedon berkata, berdasarkan rekod di laman sesawang JAS, sebanyak 65 kawasan mencatatkan kualiti udara pada tahap sederhana, manakala tiada kawasan berada pada tahap baik.

“Dua lagi Kawasan IPU tidak sihat adalah di Samarahan (155) dan Kuching (132),” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Selain itu katanya, berdasarkan laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) yang direkodkan semalam, sebanyak 132 titik panas dikesan di Kalimantan, 115 di Sumatera dan enam di Malaysia.

Menurut beliau, daripada enam titik panas di Malaysia itu, satu dikesan di Melaka dan Johor, serta dua di Sarawak dan Sabah.

Tambahnya, Peta Jerebu Serantau ASMC hari ini menunjukkan titik panas bertaburan di kebanyakan kawasan Kalimantan, manakala titik panas terpencil dikesan di Pulau Jawa, Kepulauan Sunda Kecil, Sulawesi dan bahagian selatan Sumatera.

“Kepulan asap sederhana turut diperhatikan di bahagian selatan dan barat Kalimantan, manakala kepulan asap setempat ringan dikesan di bahagian selatan dan tengah Sumatera.

“Bagaimanapun, litupan awan yang meluas menghalang pemerhatian penuh terhadap situasi titik panas dan jerebu semasa,” tambahnya.

Dalam pada itu, Azuri Azizah berkata, JAS meningkatkan tindakan penguatkuasaan dan rondaan harian di kawasan berpotensi berlaku pembakaran terbuka selain memantau bacaan IPU dari semasa ke semasa.

Katanya, Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan turut diaktifkan bagi menyelaras tindakan agensi kerajaan dalam menangani isu pembakaran terbuka serta situasi jerebu negara.

Beliau turut menasihatkan pemilik tanah supaya memantau kawasan yang mudah dan sering terbakar termasuk tapak pelupusan sampah, hutan, tanah gambut, ladang, kawasan pertanian dan industri.

“Pemilik tanah perlu mengambil langkah mencegah pencerobohan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang boleh menyebabkan pembakaran terbuka sama ada secara sengaja atau tidak sengaja,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here